utama

Tempoh pencarian 72 jam terakhir

Oleh Reuters

Mexico City: Mexico menetapkan tempoh tiga hari lagi untuk mencari mangsa yang masih hidup di bawah bangunan yang runtuh pada gempa bumi 19 September lalu, walaupun penyelamat tidak lagi mengharap menemui sesiapa yang terselamat, kata ketua perkhidmatan kecemasan negara itu.

Luis Felipe Puente, penyelaras Jabatan Perlindungan Awam Mexico berkata, kerajaan turut mengarahkan pendakwa menyiasat bangunan baru dibina yang runtuh dalam bencana itu untuk sebarang pelanggaran peraturan pembinaan, termasuk sebuah sekolah yang menempatkan 19 murid dan tujuh dewasa maut.

“Pada ketika ini, saya rasa sukar untuk menemui sesiapa yang masih hidup. Kami kini memberi tempoh 72 jam lagi untuk mencari mangsa,” kata Puente merujuk kepada 43 orang yang masih dilaporkan hilang di empat lokasi bencana di ibu negara itu.

Gempa dengan magnitud 7.1 itu melanda minggu lalu, membunuh 326 orang termasuk 187 di Mexico City, selain mengakibatkan kerosakan terhadap 11,000 rumah dengan 1,500 perlu dimusnahkan.

Kira-kira 10 peratus bangunan yang rosak dibina selepas kod pembinaan ketat digubal susulan bencana besar seumpamanya pada 1985 yang membunuh kira-kira 10,000 orang.

“Datuk bandar Mexico City dan kerajaan pusat sudah mengarahkan siasatan untuk mengenal pasti siapa yang bertanggungjawab untuk pembinaan bangunan berkenaan yang tidak mematuhi syarat ditetapkan, termasuk Sekolah Rendah Enrique Rebsamen.

“Pegawai yang meluluskan bangunan sekolah itu, syarikat pembinaan dan pemilik premis semua berdepan tindakan jika didapati melanggar undang-undang,” katanya.

Usaha mencari dan menyelamat terbesar dilancarkan di sebuah bangunan pejabat di Roma, Mexico City, di mana 40 orang dipercayai tertimbus berdasarkan aduan orang ramai yang kehilangan anggota keluarga. Tiga orang lagi dipercayai tertimbus di dalam runtuhan tiga bangunan lain di ibu negara itu.

Disiarkan pada: September 27, 2017 @ 4:17am
d