utama

Berteduh bawah hentian bas

Oleh Noor Ainum Ibnu Hajar Abu Seman

Jerantut: “Saya hanya memikirkan keselamatan anak sulung, Mahani Hashim, 39, yang juga orang kurang upaya (OKU) yang terlantar selepas menyedari rumah dinaiki air. Tanpa membuang masa saya segera menggendongnya keluar ke tempat selamat.

“Bagaimanapun, saya terkejut apabila melihat masjid dinaiki air, begitu juga jambatan ke sekolah tidak boleh dilalui kerana dinaiki air,” kata Jalilah Yaacob, 53, mangsa banjir kilat di Kampung Damak, di sini, semalam.

Dalam kejadian itu, tiga rumah iaitu milik Jalilah dan dua adiknya dinaiki air, selain Masjid Kampung Damak.

Ibu lapan anak itu, berkata, susulan banjir itu dia terpaksa menumpang berteduh di kawasan perhentian bas sementara menunggu paras air surut.

“Ini adalah kali pertama saya berdepan banjir kerana baru dua tahun tinggal di sini.

“Oleh itu, saya terkejut dan hanya mampu memikirkan keselamatan anak sulung memandangkan dia tidak mampu bergerak atau menguruskan diri selepas demam panas dan sawan ketika berusia enam bulan,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Seorang lagi mangsa, Nor Akma Razali, 35, yang juga adik ipar kepada Jalilah berkata, ketika kejadian, dia dan keluarga sedang tidur dan hanya menyedari banjir selepas terdengar pintu rumahnya diketuk jiran.

“Sebaik tersedar, saya terkejut apabila mendapati paras air sudah mencecah lantai dan segera mengejutkan suami serta lapan anak.

“Bagaimanapun, air yang cepat naik menyebabkan kami sekeluarga hanya sempat mencapai beberapa helai pakaian, manakala dokumen penting dan barangan elektrik tidak dapat diselamatkan,” katanya memaklumkan kali kedua berdepan banjir selepas kejadian pada 2014.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Jerantut, Penolong Penguasa Bomba Fariz Abdul Rahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.37 pagi dan seramai lapan anggota dikerahkan ke lokasi.

“Sebaik tiba dilokasi, kami mendapati banjir kilat membabitkan sebuah masjid dan tiga rumah, tindakan pemantauan segera dilakukan.

“Bagaimanapun, tiada pusat pemindahan dibuka dan keadaan paras air sehingga tengah hari tadi (semalam) surut sepenuhnya,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Katanya, turut terjejas adalah kampung berhampiran iaitu Kampung Cengkuak membabitkan sebuah rumah namun semua mangsa dilaporkan selamat.

Banjir kilat itu turut menjejaskan Sekolah Kebangsaan (SK) Damak yang menyebabkan ia ditutup sehari berikutan jambatan menghubungkan sekolah berkenaan dan jalan utama dinaiki air.

Disiarkan pada: September 28, 2017 @ 4:55am
d