utama

Jeritan rakan jadi penyelamat

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

“Ketika nyenyak tidur, saya terkejut terdengar jeritan rakan yang mengajak kami segera keluar.

“Sebaik membuka mata, saya dapati api mulai merebak melalui bahagian siling asrama," kata Nurul Syazana Ahmed Faisal, 16, pelajar Sekolah Tinggi Islam As Sofa, Kampung Nerasau, Rembau menceritakan mengenai kebakaran di premis itu, hari ini.

Nurul Syazana berkata, kejadian 1.50 pagi itu menyebabkan dia dan 36 rakannya menjerit ketakutan.

Katanya, api didapati merebak di siling sehingga ke luar tingkap menyebabkan mereka melarikan diri menggunakan pintu hadapan.

"Bagaimanapun kami gagal keluar ke jalan utama berikutan kebakaran merebak sehingga ke hadapan asrama.

"Berikutan itu kami berlari ke surau dan dewan di belakang asrama," katanya ditemui di tempat kejadian, hari ini.

Nurul Syazana berkata, dia dan rakan keluar sehelai sepinggang dan gagal menyelamatkan barangan termasuk kad pengenalan, al-Quran dan bahan pengajian.

"Saya bersyukur kerana insiden ini tidak membabitkan kemalangan jiwa tetapi hanya tiga rakan sesak nafas," katanya yang demam.

Sementara itu, ibu Nurul Syazana iaitu Suhana Yaacub, 43 berkata, dia dihubungi pihak sekolah pada 3 pagi namun hanya membalas panggilan pada 5 pagi.

Katanya, sebaik dimaklumkan mengenai kebakaran fikirannya terarah kejadian yang berlaku di pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Kuala Lumpur, 14 September lalu.

"Saya hanya mampu mengucap sebaik tahu kejadian dan bersyukur anak terselamat," katanya yang datang dari Shah Alam, Selangor.

Dalam kebakaran itu, tiga pelajar sesak nafas manakala 34 lagi diselamatkan.

Berita berkaitan:

Tahfiz di Rembau terbakar

Disiarkan pada: September 28, 2017 @ 12:28pm
d