utama

Menang percuma?

Oleh Aziman Rosdi

Kuala Lumpur: Keputusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk tidak menghantar skuad Harimau Malaya ke Pyongyang bagi aksi Kelayakan Piala Asia 2019 menentang Korea Utara pada 5 Oktober ini mungkin mengundang padah.

Perkara itu disuarakan bekas Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) Datuk Peter Velappan yang melihat penangguhan buat kali ketiga perlawanan Kumpulan B itu sebagai campur tangan kerajaan.

Katanya, AFC boleh menghadiahkan kemenangan percuma kepada Korea Utara andai FAM berkeras tidak menghantar pasukan ke Pyongyang meskipun jaminan keselamatan sudah diberikan tuan rumah.

“Tuan rumah sudah memberi jaminan keselamatan dan disahkan AFC, jadi skuad kebangsaan seharusnya tiada masalah bermain di sana.

“Bila penangguhan ini dibuat atas arahan pihak Wisma Putra, maka ini dilihat campur tangan kerajaan. Semua ini disebabkan politik antarabangsa. AFC boleh membatalkan perlawanan dan menghadiahkan kemenangan kepada pasukan Korea Utara,” katanya kepada Arena Metro.

AFC semalam mengumumkan menerima permohonan penangguhan perlawanan daripada FAM selepas arahan terbaru larangan perjalanan ke Pyongyang dikeluarkan Kementerian Luar.

Badan induk bola sepak Asia itu memaklumkan perkara itu akan dirujuk kepada jawatankuasa berkenaan bagi menentukan status perlawanan terbabit.

Ini kali ketiga AFC terpaksa menunda aksi kedua-dua pasukan itu kerana ketegangan politik yang melanda Korea Utara.

Pada awalnya perlawanan yang dijadual berlangsung pada 28 Mac di Stadium Kim Il-Sung ditunda kepada 8 Jun dan tarikh itu sekali lagi ditunda kepada 5 Oktober kerana masalah sama.

Bagaimanapun perlawanan antara Korea Selatan dengan Lubnan di stadium itu pada 5 September tidak berdepan sebarang masalah.

Andai AFC membuat keputusan drastik menghadiahkan kemenangan kepada Korea Utara, ia pasti memberi kesan besar buat skuad kendalian Nelo Vingada yang kini menduduki tangga tercorot dengan satu mata selepas dua perlawanan.

Velappan yang bersama AFC selama 29 tahun, pada 1978 hingga 2007 berkata, aksi di gelanggang berkecuali hanya akan dilangsungkan menerusi persetujuan bersama kedua-dua pasukan.

“Sepatutnya perlawanan ini tidak boleh ditangguhkan lagi selepas tiga kali ditangguh atas alasan sama. Beraksi di gelanggang berkecuali pula boleh diadakan hanya jika kedua-dua pasukan bersetuju.

“Ini bukan kes pertama, dulu ada perlawanan membabitkan negara yang mempunyai hubungan kurang baik seperti Arab Saudi dengan Iran, Iraq-Kuwait, Bangladesh-Pakistan, tapi perlawanan tetap diteruskan, tiada masalah.

“Bola sepak adalah mengenai persahabatan dengan sukan ini akan membuka jalan kepada hubungan antara mana-mana negara,” katanya.

Disiarkan pada: September 29, 2017 @ 4:50am
d