utama

[UPDATE] Bayi 13 hari antara terkorban

Oleh Ramli Ibrahim

BAYI lelaki berusia 13 hari antara yang terkorban dalam kemalangan di Kilometer 52 Jalan Gua Musang-Kuala Krai, dekat Paloh, Gua Musang, hari ini.

Bayi berkenaan, Zayyan Nazreel Zainuddin maut di lokasi kejadian bersama bapa, Zainuddin Anuar, 30; ibu, Raizuamira Daud, 31; dan kakaknya yang belum dikenal pasti identiti selepas kereta dinaiki mereka bertembung dengan treler muatan beras, 7.15 pagi tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Gua Musang, Deputi Superintendan Abdullah Daud berkata, keluarga berasal dari Parit 8 Timur, Selangor dalam perjalanan dari Gua Musang menghala ke Kuala Krai.

Katanya, dalam perjalanan itu dipercayai treler muatan beras dari Kuala Krai menuju ke Gua Musang terbabas memasuki laluan bertentangan.

"Berikutan itu, treler berkenaan bertembung dengan kereta dinaiki empat beranak menyebabkan tiga mangsa tersepit dalam kereta yang remuk.

"Pemandu treler tidak mengalami sebarang kecederaan tetapi identitinya juga belum diperolehi.

"Sepasukan anggota bomba mengambil masa hampir sejam untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit," katanya.

Abdullah berkata, kemalangan berkenaan masih dalam siasatan dan pihaknya menunggu pemandu treler untuk diambil keterangan.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya.

Berita berkaitan:

Empat beranak maut

Disiarkan pada: September 29, 2017 @ 3:19pm
d