utama

Blues sedia terjah Citizens

Oleh AFP

London: Eden Hazard berkata Chelsea akan meneruskan momentum daripada kemenangan menakjubkan ke atas Atletico Madrid dalam Liga Juara-Juara untuk perlawanan tumpuan di Stamford Bridge awal pagi esok menentang pendahulu Liga Perdana Inggeris Manchester City.

Selepas ketinggalan kepada Atletico di Madrid awal pagi kelmarin, Chelsea menyamakan kedudukan apabila Hazard melakukan hantaran kepada Alvaro Morata dan meraih kemenangan 2-1 menerusi sepakan terakhir perlawanan menerusi pemain gantian Michy Batshuayi.

City mempamerkan prestasi hebat sejak awal musim ini tetapi Hazard percaya bahawa dengan menewaskan Atletico – finalis dua kali dalam empat musim terakhir Liga Juara-Juara mereka mampu bersaing dengan sesiapa saja.

“Sejak saya datang ke sini, inilah kali pertama kami menewaskan pasukan yang benar-benar bagus dan kuat dalam Liga Juara-Juara,” kata Hazard.

“Kami melakukannya dengan cemerlang sejak wisel pertama hingga akhir perlawanan. Ini bermakna kami pasukan yang bagus, kami mempunyai pemain yang bagus.

“Kami amat yakin tetapi Man City juga bermain dengan baik jadi ia bakal menjadi pertemuan terhebat. Dua pasukan terhebat, dua pengurus terhebat. Kita lihat saja nanti.”

Hazard, 26, kembali mendapat kepercayaan menyertai pasukan oleh pengurus Antonio Conte selepas mengalami pembedahan buku lali dan susulan tiga penampilan sebagai pemain simpanan dia dijangka diturunkan sebagai kesebelasan utama menentang City.

Tahap kecergasan dan prestasi pemain Belgium itu yang semakin pulih, menggembirakan Conte yang hanya mampu mengeluh selepas aksi awal pagi Khamis mengenai pasukannya tidak mempunyai rehat mencukupi untuk perlawanan awal pagi esok.

Tatkala kelab barat London itu hanya akan kembali pada awal pagi Jumaat, pemain City mempunyai waktu rehat selepas menang 2-0 ke atas Shaktar Donetsk di laman sendiri awal pagi Rabu.

Sementara itu pemain tengah City, Ilkay Gundogan menyedari kunjungan ke Stamford Bridge akan menjadi ujian buat pasukannya yang kini menjadi pilihan awal muncul juara.

“Ia perlawanan yang besar di tempat lawan, jadi ia lebih sukar tetapi kami bersedia,” kata pemain Jerman itu yang pasukannya mendahului Manchester United dengan perbezaan gol.

“Jika anda tanya pengurus pasti ada sesuatu untuk diperbaiki tetapi kami sedar, kami adalah pasukan hebat, kami mempunyai pemain hebat dan terpulang kepada kami untuk membuktikannya.”

Disiarkan pada: September 30, 2017 @ 4:22am
d