utama

Sampah ganti wang

Oleh Agensi

Malang, Indonesia: Bagi membantu penduduk miskin mendapat penjagaan kesihatan yang baik, seorang usahawan muda Indonesia membenarkan golongan itu membayar dengan sampah.

Insurans Klinikal Sampah yang ditubuhkan Gamal Albinsaid kedengaran seperti idea yang lucu tetapi ia sudah beroperasi selama tujuh tahun.

Model perniagaan unik itu juga sudah ditiru di seluruh Indonesia.

Gamal berkata, kerana mahu membantu golongan miskin dia tidak menjadikan perniagaannya sebagai francais.

Sebaliknya dia membuat manual permulaan setebal 70 muka surat secara percuma untuk sesiapa yang mahu menceburkan diri dalam bidang insurans kesihatan sampah.

Ketua pegawai eksekutif syarikat insurans kesihatan Medika itu menubuhkan Insurans Klinikal Sampah pada 2010 ketika berusia 21 tahun.

“Ada penduduk miskin yang tidak pergi ke hospital kerana mereka tidak mempunyai wang. Jadi saya terfikir, sekiranya tiada wang, apa yang anda ada?

“Saya melihat banyak sampah di merata tempat, dari situ kami memutuskan untuk menggunakan sampah sebagai sumber kewangan,” katanya.

Menurutnya, ideanya bukan sahaja membantu penduduk miskin mendapat perkhidmatan penjagaan kesihatan tetapi turut membantu mengurangkan pencemaran.

Bagi mendapat penjagaan kesihatan yang asas, ahli Insurans Klinikal Sampah perlu memungut tiga kilogram sampah yang boleh dikitar semula pada setiap bulan.

Seramai 2,000 ahli insurans boleh mendapatkan perkhidmatan penjagaan kesihatan di tiga klinik khas iaitu dua di Malang dan satu di Jakarta.

Disiarkan pada: September 30, 2017 @ 4:55am
d