utama

TV curi naik motor

Oleh Nadzreen Shah Mat Salim

Wangsa Maju: Usung televisyen LCD yang baru dicuri dengan menunggang motosikal di Kampung Puah, Setapak, di sini.

Itu tindakan luar biasa seorang penjenayah berusia 31 tahun yang pernah 14 kali ditahan dan dijatuhi hukuman penjara atas jenayah sama.

Namun suspek yang dikesan melakukan jenayah itu jam 11 malam kelmarin jelas langsung tidak serik dan masih mengulangi tabiat lamanya.

Suspek bagaimanapun diberkas sepasukan polis diketuai Ketua Balai Polis Setapak Asisten Superintendan Wee Bee Seng yang melakukan operasi cegah jenayah di kawasan itu.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, siasatan awal mendapati suspek mempunyai rekod dikehendaki polis dan memiliki motosikal curi.

“Suspek baru sahaja dua bulan dibebaskan daripada penjara dan masih mengulangi kegiatan lamanya.

“Pemeriksaan pada nombor pendaftaran motosikal ditunggang mendapati motosikal berkenaan dilaporkan hilang dicuri di daerah Dang Wangi,” katanya.

Roy berkata, televisyen yang dibawa suspek turut menimbulkan curiga namun tidak dapat dipastikan pemilik sebenarnya.

“Suspek mendakwa menjumpai televisyen itu di kawasan berkenaan sebelum mengambilnya,” katanya.

Dia berkata, suspek direman dan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(d) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1959 dan Seksyen 379(A) Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: October 1, 2017 @ 5:15am
d