utama

Sentiasa bawa kit kecemasan

Oleh HM Digital

Meskipun jadual penggambaran padat, Raja Ilya tetap peka dengan situasi sekeliling apabila menghulurkan bantuan terhadap insan yang memerlukan.

Kata Raja Ilya, kesedaran itu timbul apabila nenek tersayang meninggal dunia di depan mata ketika usianya 18 tahun.

“Sejak insiden yang meragut nyawa insan paling disayangi, ia meninggalkan impak mendalam di hati saya.

“Kini, saya gemar melakukan kerja sosial yang tidak hanya terhad sesama manusia, tetapi alam sekitar.

“Paling penting, buat seikhlas mungkin. Bukan ada niat tersirat,” katanya pada sesi rakaman sebuah program pilot terbitan Darkwave Pictures, baru-baru ini.

Menurut Raja Ilya, kit kecemasan sentiasa ada di dalam kereta sebagai persediaan andai berdepan musibah.

“Rugi kalau saya tidak gunakan ilmu yang ada untuk memberi pertolongan awal jika musibah berlaku.

“Saya akan bawa kit kecemasan ke mana sahaja saya pergi. Sejak zaman sekolah, saya menyertai Persatuan Bulan Sabit Merah. Jadi, pendedahan terhadap kepentingan membantu di saat kecemasan sudah diasah sejak kecil.

“Pendedahan dan pengetahuan itu seiring dengan kursus pertolongan cemas atas inisiatif sendiri,” katanya.

Mengimbau kembali detik sedih ketika arwah neneknya meninggal dunia, pelakon Syurgaku Tak Sempurna di HyppTV itu mengakui, dia tidak dapat membantu kerana terlalu panik sehingga lupa ilmu yang dipelajari sebelum itu.

“Sampai sekarang, saya terkesan dengan peristiwa itu lebih-lebih lagi kejadian berlaku pada hari lahir saya. Memang terkilan, tetapi saya reda,” katanya.

Raja Ilya berkata, pengalaman itu banyak menyedarkan dirinya supaya tidak mudah panik sebaliknya pantas menghulurkan bantuan.

Sambung Raja Ilya, dia pernah membantu mat rempit yang terbabit kemalangan ketika penggambaran sebuah program di Bukit Merah, Perak, beberapa tahun lalu.

Beralih kerjaya seni, Raja Ilya yang sebelum ini sering diberikan watak antagonis berkata, dia tidak mengambil tawaran besar sepanjang tiga bulan ini untuk melakukan persediaan melebarkan sayap di Amerika Syarikat.

“Saya terpaksa tolak tawaran kerana perlu fokus dengan tawaran dari Amerika Syarikat.

“Buat masa ini, saya banyak habiskan masa di gim untuk mendapatkan bentuk badan ideal selain melakukan persedian mental dan fizikal,”katanya.

Raja Ilya yang turut terbabit dalam bisnes minuman beberapa tahun lalu gembira kerana Richiamo Coffee by Raja Ilya kian mendapat sambutan.

“Alhamdulillah setakat ini sudah ada tiga cawangan francais. Antaranya di Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Menara Miti, Kuala Lumpur. Insya-Allah, sebelum akhir tahun ini tiga lagi cawangan baru akan dibuka,” katanya. -Najiy Jefri

Disiarkan pada: October 3, 2017 @ 5:30am
d