utama

Mudah-mudahan Muhammad Harraz sembuh [METROTV]

Oleh Mazizul Dani

“BIARPUN doktor memberitahu yang anak saya hanya boleh bertahan tiga bulan, kuasa Allah SWT kita tidak tahu. Mudah-mudahan penyakit anak ada penawarnya.”

Itu kata Nik Nurul Shuhada Nik Soh@Nik Yusof, 23, yang berdepan ujian apabila anak sulung, Muhammad Harraz Naufal Saiful Shahrin, dua bulan, disahkan menghidap Spinal Muscular Atrophy (SMA) iaitu masalah kemerosotan otot tulang belakang, 25 hari selepas dilahirkan.

“Pada mulanya seperti tidak reda kerana terkejut dengan berita ini. Saya tak mampu terima. Kenapa saya? Bukan orang lain?

“Tetapi kini saya tahu, ini adalah ujian saya. Mungkin anak syurga ini yang akan tarik saya ke sana,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Muhammad Harraz Naufal kini bergantung kepada alat bantuan pernafasan sepenuhnya kerana SMA menyebabkannya sukar bernafas.

Nik Nurul Shuhada dan suami terpaksa berhenti kerja dan pulang ke kampung halaman di Kota Bharu, Kelantan supaya anaknya dapat dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

“Ibu mentua saya juga sedang menjalani rawatan kimoterapi disebabkan kanser di tingkat satu manakala anak saya di tingkat enam.

“Ujian berganda buat keluarga saya terutamanya suami, Saiful Shahrin Salleh, 24, yang sedang mencari pekerjaan di sini (Kota Bharu) untuk menampung kehidupan kami,” katanya yang sebelum ini mengusahakan perniagaan katering kecil-kecilan.

Katanya, buat masa ini pihak hospital sedang berusaha mendapatkan bantuan daripada pihak kebajikan berkaitan supaya anaknya menerima alat bantuan pernafasan.

“Saya sebenarnya ingin berkongsi kepada orang ramai mengenai penyakit ini yang masih tiada penawarnya mahupun ubat untuk bertahan.

“Seribu satu rahmat sekiranya anda semua mampu mendoakan anak saya atau melakukan solat hajat untuk anak syurga saya. Alhamdulillah, syukur,” katanya.

Disiarkan pada: October 3, 2017 @ 10:02pm
d