utama

'Otak psikopat'

Oleh AFP

Las Vegas: Polis semalam menemui sejumlah besar senjata dan bahan letupan di dalam bilik hotel serta rumah penyerang yang didakwa membunuh sekurang-kurangnya 59 orang dan mencederakan 527 yang lain pada kejadian tembakan besar-besaran paling dahsyat dalam sejarah Amerika Syarikat (AS).

Pada masa sama, pegawai AS masih menyiasat dakwaan kumpulan militan Daish bahawa Stephen Craig Paddock, 64, melaksanakan serangan di Las Vegas Strip, Ahad lalu itu bagi pihak kumpulan berkenaan.

Menurut polis, Paddock, seorang akauntan bersara tanpa rekod jenayah, memecahkan cermin tingkap bilik hotel di tingkat 32, sejurus selepas jam 10 malam dan melepaskan tembakan menggunakan senjata api automatik ke arah ribuan orang yang menghadiri konsert muzik country di bawah.

Penyiasat menemui sekurang-kurangnya 16 senjata termasuk senapang dalam bilik Paddock di Hotel Mandalay Bay dan 18 senjata api lain bersama bahan letupan di rumahnya.

Penyanyi muzik country, Jason Aldean yang sedang membuat persembahan bergegas lari ke belakang pentas apabila tembakan bermula, manakala pengunjung yang panik bertempiaran lari mencari perlindungan selepas dihujani tembakan dari atas.

“Kami nampak orang bergelimpangan. Kami tidak tahu sama ada mereka terjatuh atau ditembak,” kata Ralph Rodriguez, perunding IT dari Pomona Valley, berhampiran Los Angeles, yang menghadiri konsert itu bersama rakannya.

Daish mendakwa Paddock antara ‘askarnya,’ namun, Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) tidak menemui sebarang kaitan seumpama itu setakat ini dan menyifatkannya sebagai seorang yang mengalami masalah jiwa.

“Kami tidak menemui sebarang manifesto atau apa-apapun yang dapat menjelaskan perbuatannya. Dia bertindak sendiri dan kejadian ini sukar dielak kerana kita tidak dapat menjangka pemikiran seorang psikopat,” katanya.

Polis berkata, Paddock membunuh dirinya sebelum pasukan Khas Senjata dan Taktik (SWAT) menyerbu bilik hotelnya yang menghadap ke lokasi konsert itu diadakan.

Menurut Syerif Joseph Lombardo, seorang pengawal keselamatan ditembak di kaki apabila mereka menyerbu masuk ke dalam bilik yang dihuni Paddock sejak 28 September lalu.

Pencarian di rumah Paddock di Mesquite, Nevada, 130 kilometer dari Las Vegas menemui simpanan senjata api serta peluru, selain bahan letupan dikenali sebagai tannerit termasuk ammonium nitrat, sejenis baja, di dalam kenderaannya.

Disiarkan pada: October 4, 2017 @ 6:49am
d