utama

'Sedih dituduh cuba gelap wang'

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

Kuala Lumpur: “Saya sedih apabila dituduh cuba menggelapkan wang sumbangan diterima daripada orang ramai, padahal saya sudah melantik juruaudit bertauliah bagi mengemaskini wang diterima,” ujar Pengetua Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah Mohd Zahid Mahmood.

Menurutnya, maklumat yang dilaporkan beberapa portal berita itu tidak bertanggungjawab dan satu tuduhan jahat.

“Urusan mengenai wang sumbangan sudah diserahkan kepada juruaudit dan ia mengambil masa sebelum pembahagian dilakukan kepada waris,” katanya.

Katanya, tidak timbul isu pihaknya cuba melambatkan proses pembahagian dengan alasan mahu menyeleweng wang diterima berikutan pembahagian hanya boleh dibuat selepas audit selesai dijalankan.

“Saya tak pasti bila audit akan selesai sebabnya bukan bidang kerja kita. Cuma, apa yang boleh saya maklumkan adalah kami akan berbincang mengenai peratusan pembahagian pula sebaik proses itu selesai.

“Hanya selepas itulah baru kami panggil semula waris untuk proses pembahagian yang akan disaksikan peguam bagi mengelak sebarang isu berbangkit,” katanya.

Sebelum ini, sebuah portal berita melaporkan seorang waris mempersoalkan ke mana perginya wang derma orang ramai.

Dalam laporan itu, mereka mengadu masih belum menerima sumbangan yang dikumpul dan menuntut Zahid memberi penjelasan.

Laporan itu turut menyebut seorang ibu mangsa kebakaran yang tidak mahu dikenali menyatakan belum lagi menerima satu sen pun duit derma itu.

Menurut Mohd Zahid, proses audit ini mengambil masa kerana sumbangan diterima dipecahkan kepada dua bentuk sumbangan.

Katanya, dua bentuk sumbangan itu membabitkan sumbangan dikongsi antara pusat tahfiz dan waris, manakala satu lagi sumbangan pula memang untuk waris, tetapi diserahkan kepada pihaknya.

“Bagi sumbangan yang dikongsi antara pusat tahfiz dan waris, sepatutnya dibahagi sama rata. Tapi hasil perbincangan, sumbangan itu akan dilebihkan kepada keluarga mangsa dan pusat tahfiz hanya mengambil sedikit bagi pembangunan semula dan pengurusan.

“Sumbangan untuk mangsa tapi diserahkan kepada pihak kami untuk uruskan pembahagian. Wang ini kita (pusat tahfiz) tak boleh ambil. Namun sebelum diserahkan, jumlahnya juga perlu dikenal pasti dan dibahagi secara adil kepada keluarga mangsa kerana membabitkan soal amanah,” katanya.

Mohd Zahid berkata, pihaknya berharap waris tragedi kebakaran pada 14 September lalu yang mengorbankan 21 pelajar dan dua warden bersabar serta berbincang dengan pihak pengurusan tahfiz terlebih dulu.

“Dalam perjumpaan bersama beberapa waris sebelum ini pun, saya tegaskan ia mengambil masa kerana soal duit ini bukan boleh dibuat sambil lewa kerana membabitkan proses perundangan berikutan jumlahnya besar dan membabitkan banyak pihak,” katanya.

Disiarkan pada: October 4, 2017 @ 7:20am
d