utama

Kurung bapa lumpuh

Oleh Shahrinnahar Latib

LELAKI warga emas, 80, dipercayai ditinggalkan di sebuah rumah di Taman Inderapura, Kuantan, diselamatkan anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), hari ini.

Warga emas berkenaan, Tang Ngad, yang lumpuh separuh badan akibat angin ahmar ditemui dalam keadaan bogel di jeriji rumah.

Pasukan polis terpaksa memotong jeriji rumah itu yang dikunci oleh anaknya sejak Isnin lalu.

Menurut jurucakap polis, pihaknya mendapat maklumat mengenai kes itu selepas menerima laporan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teruntum, Sim Chong Siang.

"Kami bergegas ke tempat kejadian dan menemui mangsa berada di depan pintu jeriji dengan keadaan bogel dan dipenuhi najis.

"Polis terpaksa memotong mangga yang dipasang sebelum membawa keluar warga emas itu dan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk pemeriksaan lanjut," katanya hari ini.

Katanya, polis akan menghubungi anak warga emas berkenaan untuk siasatan lanjut selepas ini.

Disiarkan pada: October 4, 2017 @ 3:31pm
d