utama

'Bijok boh...' [METROTV]

Oleh Mohamad Zulhairie Manzaidi

DIA hanya menjual menu sarapan, nasi kerabu bersama daging bakar sahaja, namun pengusaha gerai Jijah's NK Stall di Kota Bharu ini lebih maju ke hadapan apabila menerima pembayaran mata wang maya, Bitcoin.

Safiin Mohamed, 65, yang juga bekas tentera dipercayai menjadi satu-satunya peniaga gerai di Kelantan ketika ini yang menerima pembayaran berkenaan selain Ringgit Malaysia.

Keputusan menerima bayaran menggunakan wang jenis kripto itu dibuat dua bulan lalu selepas menyedari kepentingannya pada masa akan datang.

Katanya, dia pernah melihat rakaman dimuat naik di YouTube mengenai pengemis di China yang menyangkut kod bar di leher untuk meminta sedekah dengan menerima wang jenis kripto.

"Sejak itu saya dan isteri, Azizah Derahman,60, mula memperkenalkan kaedah pembayaran begitu selepas ada kenalan kami yang membantu membuka akaun terbabit.

"Buat masa ini selepas dua bulan beroperasi (Bitcoin), tidak ramai yang membayar menggunakannya tetapi saya yakin ia akan lebih berkembang di masa hadapan.

"Lagipun penawaran wang digital semakin mendapat sambutan dunia," katanya ditemui di kedainya, hari ini.

Menurutnya hidangan nasi kerabunya dijual pada harga RM5 dan bersamaan dengan 0.00027 Bitcoin (setakat 4 petang).

Untuk membuat pembayaran, pelanggan hanya perlu mengimbas kod menggunakan aplikasi di telefon pintar.

Safiin juga tidak merasa rugi memperkenalkan kaedah pembayaran begitu kerana yakin urusniaga wang digital akan berkembang.

Safiin juga sentiasa mengikuti perkembangan semasa, malah turut menyahut seruan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak agar tidak ketinggalan dalam sektor ekonomi digital.

"Nilai wang kripto, Bitcoin diperkenalkan pada 2009 dan nilai semasa untuk lima tahun lalu hanyalah RM50 untuk satu bitcoin. Tetapi kini nilainya sudah mencecah lebih RM18,000 untuk satu bitcoin.

"Transaksi ini tidak membabitkan orang tengah dan setiap rekod akan dicatatkan, malah buat masa ini, negara maju seperti Jepun, China, Amerika Syarikat dan Britain juga banyak menggunakan wang krypto ini," katanya.

Dia yang sudah berniaga selama lima tahun berkata, gerainya juga semakin dikunjungi masyarakat yang berminat mengetahui cabang pembayaran begitu.

"Sebenarnya peniaga yang paling mudah mendapatkan bitcoin kerana tidak perlu mengeluarkan modal untuk membeli mata wang itu, sebaliknya hanya menerima sahaja pembayaran yang dilakukan.

"Bagi saya, kita perlu rebut peluang dan bukan menunggu peluang itu muncul, tidak kira gerai kecil atau besar, persaingan di zaman teknologi cukup hebat dan siapa yang lambat akan ketinggalan," katanya.

Selain Bitcoin, Safiin turut menerima bayaran digital lain seperti Deus, Doge dan Tracto.

Mata wang digital seperti Bitcoin adalah aset digital yang direka bentuk untuk berfungsi sebagai medium pertukaran menggunakan kriptografi bagi memastikan transaksi yang terjamin dan mengawal penciptaan unit mata wang tambahan.

Bagaimanapun, Bank Negara Malaysia (BNM) tidak mengawal selia urus niaga Bitcoin dan akan mengeluarkan garis panduan mengenai mata wang digital atau cripto menjelang akhir tahun ini.

BNM turut mengingati orang ramai supaya berhati-hati terhadap risiko berkaitan penggunaan mata wang digital berkenaan.

Berita berkaitan:

Kaji wang digital

Disiarkan pada: October 4, 2017 @ 6:31pm
d