utama

Ajal dipukul 

Oleh Maiamalina Mohamed Amin dan Mohamad Zulhairie Manzaidi

LELAKI ditemui mati dalam keadaan terlentang serta parah di muka dan kepala di tepi tali air dekat Kampung Ana, Tumpat, semalam.

Mayat Mohd Khairi Mohd Yusof, 47, ditemui penduduk kampung pada 10 malam.

Turut ditemui di sisinya, sebatang kayu serampang ikan dipercayai senjata digunakan untuk memukulnya.

Mangsa dipukul ketika mahu menangkap ikan di tali air itu.

Susulan itu, seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) mental berusia 29 tahun ditangkap polis, sejam selepas kejadian itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan Asisten Komisioner Mohd Fakri Che Sulaiman berkata, pihaknya berjaya menahan suspek selepas dimaklumkan orang awam yang melihat kelibat lelaki itu di sebuah kedai makan berdekatan.

"Orang kampung menemui suspek menunggang motosikal milik mangsa dengan pakaiannya berlumuran darah.

"Suspek bertengkar dengan penduduk kampung di situ dan melarikan diri, sebelum dia ditangkap polis kira-kira tiga kilometer dari lokasi kejadian.

"Selepas diberkas, suspek kemudian menunjukkan lokasi mangsa dipukul hingga mati," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Beliau berkata, suspek mempunyai dua rekod jenayah berkait Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu untuk dibedah siasat.

 

Disiarkan pada: October 5, 2017 @ 1:58am
d