utama

Remy tolak 3 tawaran kerana Maya

Oleh Nor Akmar Samudin

Jarang ada pelakon yang boleh memberikan komitmen kerja sebagus Maya Karin, jadi disebabkan itu, Remy Ishak sanggup menolak tiga tawaran berlakon semata-mata mahu ‘bertemu’ aktres jelita itu di pentas Teater Bangsawan Tun Fatimah.

Pada pementasan itu, Maya, 37, akan memegang peranan sebagai Tun Fatimah dan Remy, 35, pula sebagai Sultan Melaka.

Kerelaan Remy menolak semua tawaran kerja yang lain juga kerana dia turut teruja untuk bekerja dengan pengarah teater itu, Lokman Ghani.

Teater mengenai srikandi Melaka itu akan dipentaskan selama dua hari pada 20 dan 21 Oktober ini di Melaka sempena sambutan ulang tahun ke-79 Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob.

Sebagai anak Melaka dan diberi pula peranan sebagai Sultan Melaka, peluang untuk beraksi di tanah tumpah kelahirannya itu sesuatu yang tidak akan dilepaskan.

Remy berkata, dia jarang mendapat naskhah seperti Tun Fatimah dalam drama atau filem.

Kali terakhir berkongsi pentas teater dengan Maya ialah menerusi Natrah pada 2009. Selepas itu peminat mahu melihat mereka berdua berganding lagi kerana dianggap serasi.

“Populariti Natrah berjaya menarik penonton untuk menyaksikan pementasan itu dan rasanya tidak salah jika kita mencuba formula yang sama untuk menarik penonton ke Panggung Bangsawan Melaka.

“Saya percaya teater bangsawan Tun Fatimah bukan saja mampu menarik peminat dari Melaka menyaksikannya tetapi juga dari Johor dan Singapura,” katanya.

Apabila bercerita mengenai kisah epik maka wujudlah beberapa mitos yang berbeza dan Remy sudah berbincang dengan Lokman mengenai perkara itu.

“Saya bernasib baik kerana dalam teater ini tidak perlu bersilat. Ini kerana Sultan Melaka akan menunjukkan kebijaksanaannya berfikir dari atas takhta dan bukan menerusi kekuatan fizikalnya. Cuma, Maya yang akan bersilat,” katanya.

Bercerita mengenai gandinganya dengan Maya, Remy berkata, pelakon itu sangat komited dengan kerjanya dan sukar untuk mencari pelakon sepertinya.

“Semangat dan penjiwaannya ketika membawakan watak begitu kuat, jadi rugi jika saya tidak bekerjasama dengannya.

“Memang kita ada ramai pelakon tetapi saya puas dapat berlakon dengan Maya dan dia antara gandingan terbaik saya dalam lakonan,” katanya.

Maya kena bersilat

Apabila ditawarkan berlakon dalam teater ini, Maya terus bersetuju dengan tawaran daripada Ketua Pengarah Istana Budaya Datuk Mohamed Juhari Shaarani kerana dia belum pernah berlakon dalam cerita bangsawan.

“Kali terakhir berlakon dalam teater Natrah dan Supermokh. Dengan melakonkan watak Tun Fatimah juga ia membantu saya memperkukuhkan darah Melayu yang mengalir dalam diri.

“Saya gembira dapat melakonkan watak yang ikonik itu dan saya tak sabar menelusuri lebih mendalam jalan cerita Tun Fatimah. Cabaran untuk menjadi Tun Fatimah saya kena bersilat, bertutur dalam bahasa Melayu yang sempurna, lemah lembut dan berpantun serta tidak boleh melakukan kesilapan langsung.

“Bagaimanapun, sepanjang pementasan itu nanti ada juga diselitkan elemen komedi supaya ia tidak kelihatan terlalu serius,” katanya.

Teater ini mengisahkan Sultan Melaka ditipu orang kepercayaannya yang dengki terhadap Bendahara Melaka sehingga menyebabkan Sultan Melaka mengarahkan supaya seluruh keluarga Bendahara Tun Mutakhir dibunuh kecuali Tun Fatimah.

Turut berlakon dalam teater anjuran Perbadanan Ketua Menteri Melaka dengan kerjasama Istana Budaya dan Briged Seni Melaka ini ialah Ashraf Muslim, Isma Halil serta Ebby Yus.

Disiarkan pada: October 5, 2017 @ 6:37am
d