utama

Alhamdulillah...

Oleh Suraya Roslan

“ALHAMDULILLAH akhirnya janji untuk membawa anak dan juga guru Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah akhirnya tercapai apabila kami dijangka berlepas 12 Oktober depan untuk menunaikan umrah,” kata jutawan kosmetik Datuk Seri Hasmiza Othman atau lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida.

Beliau berkata, dia sudah mendapatkan visa khas untuk membawa 25 pelajar dan guru ke Makkah untuk menunaikan umrah.

“Alhamdulillah, semua dipermudahkan Allah, dan doakan perjalanan kami pergi dan balik selamat,” katanya ketika ditemui di kediaman arwah Datuk Dr Maznah Abd Hamid di Ukay Heights, Ampang Jaya, hari ini.

Pada 22 September lalu, Vida menyatakan hasrat berkenaan selepas simpati dengan tragedi malang yang menimpa pusat tahfiz itu yang disifatkan dekat dengannya yang pernah kehilangan dua anak dalam tragedi kebakaran di Ipoh, Perak.

“Saya harap dengan membawa mereka ke Makkah dapat mengurangkan trauma dan melupakan tragedi meragut nyawa 21 pelajar dan dua guru mereka,” katanya.

Sementara itu, Vida berkata, kehilangan Maznah satu kehilangan buat usahawan wanita di negara ini.

“Terus terang saya katakan, arwah menjadi inspirasi dan ikon buat saya untuk berjaya dalam bidang perniagaan.

“Saya banyak berguru dengan arwah untuk melebarkan empayar perniagaan yang sentiasa memberikan semangat dan dorongan untuk berjaya,” katanya.

Disiarkan pada: October 5, 2017 @ 3:58pm
d