utama

Sayunya...[METROTV]

Oleh Junaidi Ladjana

SEORANG kanak-kanak lelaki berusia setahun meninggal dunia dalam keadaan menyayat hati apabila digilis sebuah van berhampiran rumah datuknya di Skim Penempatan Telipok, Kota Kinabalu, hari ini.

Dalam kejadian 6.45 pagi, Muhammad Sarmindi Abdullah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra berkata, berkata, ketika kejadian, kanak-kanak itu dibawa ke kedai runcit milik keluarganya di perumahan berkenaan.

Katanya, dia dijaga oleh datuknya dan bapa saudaranya.

"Pada masa itu juga, datuk mangsa menaiki sebuah van yang berhenti di hadapan kedai runcit untuk ke pekan Telipok.

"Tanpa disedari mangsa berada di bawah kenderaan dan dia digilis van berkenaan," katanya ketika dihubungi.

Chandra berkata, akibat kejadian itu, kanak-kanak terbabit meninggal dunia di tempat kejadian.

"Siasatan masih diteruskan dan pemandu van ditahan bagi tujuan siasatan.

"Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Disiarkan pada: October 5, 2017 @ 6:02pm
d