utama

Amal jariah konon...[METROTV]

Oleh Asrizal Aris

 

KAUT untung daripada 'amal jariah' palsu.

Itu strategi kes penipuan jualan rumah membabitkan RM6.2 juta yang dipercayai didalangi syarikat Juta Kelulut Global Resources (JKGR) dan DBI Properties. 

Menawarkan promosi jualan rumah berkonsepkan mini banglo dengan harga serendah RM30,000, berjaya menarik perhatian ramai apabila kononnya tawaran itu adalah amal jariah syarikat untuk memperkenalkan nama syarikat.  

Berpewatakan seperti ‘orang alim’ malah ada yang menggelarkan diri sebagai ‘ustaz’ menambahkan lagi keyakinan pembeli terhadap ejen serta wakil syarikat.

Salah seorang mangsa, Latipah Othman, 35, berkata, dia dan suaminya adalah pembeli terawal yang 'merebut peluang' itu pada penghujung Disember 2015 kerana dikatakan harga rumah RM30,000 itu akan dinaikkan menjelang 2016.

Dia mendapat tahu mengenai tawaran jualan rumah murah itu melalui Facebook dan hadir pada satu majlis penerangan yang dianjurkan oleh wakil syarikat.

“Harga murah yang ditawarkan itu untuk orang yang terawal sahaja. Sebaik memasuki 2016, harga rumah itu akan menjadi RM60,000 dan meningkat lagi dijangka pada pertengahan tahun menjadi RM100,000.

“Harga tawaran untuk rumah itu akan menjadi semakin mahal, dan daripada harga yang mahal itu akan tampung semula kerugian syarikat mereka semasa fasa pertama projek.

"Kami difahamkan sebagai permulaan syarikat mereka menawarkan harga RM30,000 kepada yang terawal sebagai amal jariah untuk memberkati syarikat mereka yang baru diperkenalkan dalam industri perumahan dan hartanah," katanya ketika dihubungi.

Menurut Latipah yang juga seorang guru, syarat utama untuk memiliki rumah berkenaan perlu mempunyai tanah atau tapak rumah sendiri dan dia sudah pun menyediakan tapak di sebuah kawasan perumahan di Kuala Selangor.

"Namun, sehingga bulan Oktober 2016, satu batu bata pun tidak kelihatan di kawasan itu dan saya sudah mengesyaki sesuatu yang tidak baik.

"Urusan untuk mengadakan perjumpaan dengan pihak berwajib pula semakin rumit, mereka bertukar nama syarikat dan berpindah randah pejabat. Akhirnya kami reda selepas menyedari ditipu.

"Saya dan suami akhirnya menggunakan simpanan sendiri untuk membina sedikit demi sedikit rumah idaman kami di tapak yang disediakan itu," katanya yang memaklumkan rumahnya sudah 50 peratus siap.

Seorang mangsa, Hafizul Aman, 39, berkata, simpanannya selama enam tahun untuk membeli sebuah rumah sendiri hangus begitu sahaja selepas tertipu dengan tawaran rumah murah oleh JKGR.

Katanya, rumah berharga RM30,000 itu bagaimanapun sempat didirikan sebahagian pada lantai dan dinding apabila Hafizul kerap memberi tekanan kepada wakil syarikat serta mengugut untuk melaporkan kepada pihak berkuasa.

"Pada permulaan, semua akan yakin dengan ejen yang memberi penerangan. Perwatakan seperti orang alim, bercakap pasal agama dan meminta menggelarkan dirinya sebagai ustaz.

"Pada Mac 2016, semua pembeli sudah membayar tunai RM30,000 kepada syarikat namun sebulan selepas itu kami lihat tiada sebarang perkembangan berhubung rumah yang akan dibina dan tidak mengikut perjanjian.

"Ketika itu ramai sudah mula curiga. Saya pula hampir setiap hari 'tekan' wakil syarikat supaya memulakan pembinaan kerana saya sudah mula rasa ditipu," katanya yang juga seorang penasihat jualan.

Menurutnya, bulan lalu dia bersama 88 lagi mangsa yang tertipu dengan jualan rumah berkenaan membuat aduan kepada Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) sebelum membuat laporan polis pada hari yang sama. 

Sementara itu, mangsa penipuan jualan rumah syarikat DBI Properties yang mahu dikenali sebagai Sam, 45, berkata, dia menyesal kerana mempercayai tawaran yang diberi oleh wakil syarikat yang diketuai oleh pelakon, Boy Iman.

Katanya, dia yakin selepas melihat matlamat syarikat itu yang bersungguh-sungguh mahu membantu golongan pertengahan beragama Islam untuk memiliki rumah mini banglo dengan kos yang rendah bermula RM40,000.

"Saya terlalu percaya kerana mereka bersungguh-sungguh untuk membuat kebajikan selain sebagai tanda kesyukuran susulan kejayaan beberapa projek perumahan sebelum ini.

"Rupanya mereka kaut untung dengan menipu kononnya buat kebajikan. Saya sangat kecewa namun saya lebih kasihankan terhadap beberapa mangsa warga emas.

"Ada antara mereka mengeluarkan semua wang dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan ada yang jual tanah serta rumah lama dengan harapan mahu mendapatkan rumah yang lebih selesa," katanya.

Menurutnya, dia berharap kedua-dua pemilik serta wakil syarikat yang terbabit menerima hukuman yang setimpal atas perbuatan mereka kerana menganiaya golongan yang berada dalam kesusahan.

Selasa lalu, polis menahan Pengarah Urusan DBI Properties Datuk Nuruliman A Rahman atau Boy Iman bersama dua lagi suspek utama di Ampang dan Setapak bagi membantu siasatan berhubung penipuan jualan rumah membabitkan nilai RM6.2 juta.

Tindakan itu dibuat selepas polis menerima 188 laporan berkaitan penipuan jualan rumah yang dilakukan Syarikat DBI Properties dan Syarikat Juta Kelulut Global Resources.

Semalam, dua lelaki yang juga pegawai Syarikat Juta Kelulut Global ditahan dan dibawa ke Mahkamah Majistret Seremban bagi permohonan reman bersabit kes penipuan rumah mampu milik.

Hari ini, dua pegawai berkenaan dan Boy Iman, ditahan reman selama dua hari bagi membantu siasatan berhubung penipuan jualan rumah.

 

Keterangan Gambar

Pix : Tawaran jualan rumah dengan kos rendah di laman sosial.

Pix : 

tamat

Disiarkan pada: October 5, 2017 @ 10:28pm
d