utama

'Bekas juara bukan tidak boleh kalah'

Oleh Sudirman Mohd Tahir

Penyanyi Sufie Rashid yang juga juara program Akademi Fantasi 2015 (AF2015) tidak malu apabila tersingkir pada konsert minggu ketiga AF Megastar yang diadakan minggu lalu.

Malah, Sufie yang dua minggu berturut-turut berada pada kedudukan tiga terbawah akur apabila persembahannya kurang menarik perhatian juri profesional iaitu Datuk Ramli MS dan Syafinaz Selamat.

“Buat apa nak malu, kalah dan menang adat pertandingan. Malah sejak awal lagi saya sentiasa bersedia dengan segala kemungkinan. Tidak semestinya pernah menjadi juara, saya tak boleh kalah. Apa saja boleh berlaku. Mungkin dua tahun lalu, ia adalah rezeki saya.

“Tidak dinafikan persaingan kali ini hebat. Kalau perasan, peserta yang tidak pernah menang dalam AF sebelum ini memberikan persaingan hebat. Jadi, tak mustahil pertandingan kali ini mereka pula yang bergelar juara,” katanya.

Sufie berkata, dia tidak menyesal menyertai AF Megastar sebaliknya menganggap ia satu pengalaman baru.

“Tidak ada apa perlu dikesalkan atau berasa kecewa. Setiap pertandingan memberikan pengalaman baru buat saya. Pengalaman dua tahun lalu berbeza dengan sekarang. Apa yang penting saya dapat belajar sesuatu yang baru pada setiap minggu terutama apabila bersaing dengan penyanyi berpengalaman.

“Tersingkir pada program ini bukan penamat kepada kerjaya nyanyian saya. Banyak perancangan sudah diatur termasuk menerbitkan single ketiga. Jadi, saya yakin dan optimis menjadi penyanyi yang lebih baik selepas ini,” katanya.

Selain berada di kedudukan tiga terbawah, selama dua minggu juga penyanyi kelahiran Singapura ini mendapat teguran juri profesional yang dia masih tercari-cari arah tujuk muzik dibawa.

Enggan melatah, Sufie mengakui dia masih bereksperimen dengan semua jenis muzik.

“Saya bukan tercari-cari arah tuju muzik tetapi sepanjang dua minggu ini saya salah pilih lagu. Disebabkan itu, juri berasakan saya tidak sesuai dengan lagu dinyanyikan.

“Macam single pertama saya, lagu itu gagal diterima peminat. Apabila saya muncul dengan lagu Aku Sanggup, sambutan dan maklum balas diberikan sangat baik. Daripada situ saya yakin inilah muzik sebenar saya iaitu ‘slow rock’.

“Insya-Allah single ketiga berjudul Aku Sendiri ciptaan Haqiem Rusli bakal dilancarkan tidak lama lagi. Lagu ini mengekalkan genre muzik sama dan kesinambungan daripada lagu Aku Sanggup,” katanya.

Namun, kekecewaan Sufie terubat apabila dia turut diumumkan sebagai pemenang Star of The Week iaitu hasil undian peminat selama dua minggu berturut-turut.

Disebabkan itu, timbul pula cakap-cakap mengatakan Sufie sebenarnya hanya menang berdasarkan undian peminat.

“Diakui saya mempunyai peminat yang sentiasa memberikan sokongan. Dari AF 2015 sehingga sekarang, apa saja membabitkan acara anugerah berteraskan undian peminat yang mencalonkan nama saya, mereka tidak pernah gagal untuk mengundi.

“Jadi, tak adil jika kemenangan saya dalam program ini dipertikai. Saya yakin mereka sudah buat yang terbaik untuk saya dan usaha mereka berbaloi. Terima kasih kerana terus bersama saya,” katanya.

Pada konsert ketiga penyingkiran itu, Sufie yang menyanyikan lagu Izinku Pergi nyanyian asal Kaer mendapat markah terendah 18.8 peratus.

Sudah nampak calon akhir

Lima peserta yang mendapat kedudukan teratas pada minggu lalu iaitu Idayu, Marsha, Syamel, Bob dan Indah disebut-sebut bakal berentap ke peringkat akhir.

Menurut Syafinaz selaku juri tetap, dia berharap lima peserta ini memberikan persembahan konsisten pada peringkat suku akhir yang bakal belangsung minggu ini.

“Saya berharap lima peserta ini berjaya ke peringkat akhir. Disebabkan itu, kami sangat tegas dalam soal pemarkahan. Pada masa sama, kami berharap 40 peratus undian peminat tidak menganggu pemarkahan.

“Sepanjang pertandingan ini, saya melihat empat peserta menunjukkan peningkatan nyanyian. Pertama, Idayu kekal konsisten, Bob sentiasa tampil dengan kreativiti dalam lagu, Marsha pula mempamer perubahan dalam nyanyian dan Amir Jahari berjaya keluar dari zon selesa muzik yang dibawa,” katanya.

Mengulas komen ditujukan kepada Sufie yang menyifatkan penyanyi itu seolah-olah tiada arah tuju muzik, Syafinaz berkata penyanyi perlu tahu apa yang diinginkan.

“Saya tetap nak cari keaslian. Dalam kes Sufie, dia memang masih tak ada perkara ini termasuk Azhar. Mereka masih tidak tahu nak bawakan muzik macam mana.

“Penyanyi yang masih berentap dalam program ini semuanya kenal muzik mereka serta tahu kelebihan dan kekurangan dalam nyanyian,” katanya.

Disiarkan pada: October 6, 2017 @ 6:54am
d