utama

Jamal Sekinchan kena cekup

Oleh Fuad Hadinata Yaacob

PENGERUSI Gabungan NGO Malaysia, Datuk Seri Jamal Md Yunos ditahan bersama tujuh lelaki lain, awal pagi ini.

Beliau ditahan di Sekinchan berhubung bantahan penganjuran ‘The Better Beer Festival 2017’ di depan pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di Shah Alam semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat, berkata mereka ditahan, pada 1.45 pagi.

Katanya, reman akan dipohon pagi ini di mahkamah Shah Alam, hari ini.

Beliau berkata, tangkapan itu dilakukan selepas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam menerima laporan pengawal keselamatan SUK, petang semalam.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 143 Kanun Keseksaan (KK) iaitu menyertai perhimpunan haram dan dibaca bersama Seksyen 268 KK kerana menyebabkan kemudaratan awam disebabkan tingkah laku peserta perhimpunan,” katanya.

Dalam bantahan pada 10.15 pagi semalam, Jamal bersama sekumpulan lelaki membawa 10 kotak berisi botol arak yang mahu diserahkan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai tanda bantahan terhadap pesta berkenaan.

Bagaimanapun, Jamal dihalang memasuki premis pentadbiran kerajaan negeri itu.

Ketika sidang media kemudiannya, mereka memecahkan botol berkenaan dengan menggunakan tukul di hadapan pintu pagar utama bangunan SUK.

Disiarkan pada: October 6, 2017 @ 9:22am
d