utama

Penaja meriahkan HMMTB 2017

Oleh Rosli Ilham

SEBANYAK 20 khemah siap dipasang hari ini bagi kemudahan penaja mempamerkan produk dan barangan mereka sempena Harian Metro Mountain Bike Grand Prix (HMMTB) 2017 yang berlangsung di Kerteh, dekat Chukai.

Pengarah HMMTB 2017 Husain Jahit berkata, semua struktur didirikan di atas padang bola bersebelahan Sekolah Kebangsaan Paka yang dijadikan sebagai lokasi pendaftaran dan pelepasan peserta.

Katanya, kejohanan HMMTB 2017 yang diadakan di Kerteh kali ini menampilkan pelbagai penaja yang mengambil bahagian sebagai menyokong usaha penganjuran sukan lasak berkenaan.

“Penaja utama ialah Affin Bank Group, Honda Malaysia, Deuter, Polygon, Demak, Tesco Malaysia Sdn Bhd, Julie's Biscuits, Mamee Double Decker, Isuzu Malaysia dan Resort Word Kijal.

“Kami mengalu-alukan penduduk di kawasan Kerteh, Paka, Kemaman dan Dungun supaya dapat datang beramai-ramai ke khemah penaja yang mempamer dan menjual pelbagai barangan.

“Barangan yang dijual terdiri daripada pelbagai produk dengan harga sangat berpatutan," katanya.

Husain berkata, kejohanan HMMTB esok dijangka akan disertai lebih dari 1,000 pelumba dalam dan luar negara.

Turut memberi kerjasama ialah Majlis Perbandaran Kemaman, Polis Diraja Malaysia Kemaman, Sekolah Kebangsaan Kerteh, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Syarikat Air Terengganu, Angkatan Pertahanan Awam APM dan Jabatan Kesihatan Daerah Kemaman.

Disiarkan pada: October 6, 2017 @ 8:05pm
d