utama

Empat beranak ditemui mati

Oleh Ibrahim Isa

"JEYA jangan risau." Demikian maksud sekeping nota yang ditulis dalam bahasa Tamil yang ditemui polis di dalam sebuah rumah di Jalan Utama 41, Rini Residence, Mutiara Rini, Johor, lokasi empat beranak ditemui mati pada 2.30 petang hari ini.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri Asisten Komisioner Noor Hashim Mohamad berkata, pihaknya menemui seorang lelaki berusia 53 tergantung di dalam bilik di tingkat atas rumah teres dua tingkat, manakala isterinya yang berusia 46, ditemui di atas katil bersebelahan ruang tamu di tingkat bawah rumah.

Menurutnya, anak lelakinya yang berusia 14 tahun dan perempuan berusia sembilan tahun ditemui mati dengan kesan jerutan di leher di dalam bilik berasingan.

"Tiada sebarang kesan jenayah pada tubuh wanita berkenaan namun kami menunggu laporan bedah siasat untuk mengetahui punca kematiannya.

"Kami menerima panggilan dari orang awam kira-kira 2.30 petang mengenai penemuan empat mayat di rumah mangsa sebelum sepasukan polis ke tempat kejadian.

"Hasil siasatan mendapati, tiada sebarang kesan pecah masuk ke atas rumah lelaki yang berniaga sebagai pemborong minuman keras itu," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Menurutnya, polis turut menemui satu nota dipercayai ditulis lelaki berkenaan yang ditinggalkan di atas meja solek.

Katanya, kejadian disedari rakan lelaki yang datang ke rumah untuk menemui si mati.

"Apabila tiba di rumah berkenaan, lelaki terbabit menemui satu nota mengatakan pintu rumah tidak dikunci dan sebaik masuk ke dalam rumah lelaki itu terkejut melihat satu mayat di atas katil sebelum menghubungi polis.

"Kami masih menyiasat pelbagai kemungkinan sama ada dari sudut perbuatan jenayah atau mati mengejut," katanya.

Disiarkan pada: October 6, 2017 @ 9:17pm
d