utama

Abang jatuh seperti bersujud

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

ADIK budak lelaki yang maut dihempap pokok kelapa sawit di Kampung Gajah semalam, melihat Muhamad Khairul Syamril Sauffi, 13, jatuh seperti bersujud selepas ditimpa pokok berkenaan serta besi khemah.

Mohamad Shahril, 12, berkata dia bersama abangnya itu serta dua rakan, baru hendak makan selepas mengambil makanan di bawah khemah apabila pokok itu tumbang menghempap khemah berkenaan.

“Abang cedera di kepala terkena pokok serta besi khemah dan dia jatuh seperti bersujud.

"Saya luka kecil manakala dua lagi rakan cedera dan dirawat di hospital," katanya.

Sementara itu, ibu mangsa, Hafizah Paed, 33, berkata Muhamad Khairul Syamril dua kali memberitahunya untuk keluar ke rumah jirannya yang mengadakan kenduri arwah itu.

“Dua kali dia berkata 'Ma, kita pergi dulu ya' selepas saya membenarkan dia bersama adik dan dua rakan ke rumah jiran.

“Saya masih terkejut dengan kejadian menimpa anak sulung saya itu namun reda dengan ketentuan takdir," katanya.

Dalam kejadian 2.25 petang di Kampung Tersusun Bukit Chawi itu, Muhamad Khairul Syamril yang cedera parah di kepala, disahkan meninggal dunia selepas dibawa ke Klinik Kesihatan Ulu Dedap.

Menurut Hafizah, anak sulung daripada enam beradik itu meminta izin ke rumah jiran yang mengadakan kenduri arwah selepas dia pulang dari kenduri berkenaan.

Katanya, dia berat hati mengizinkan Muhamad Khairul Syamril bersama adiknya berikutan hujan.

“Jemputan lain juga sudah pulang namun dia tetap mahu pergi. Saya pesan supaya pulang cepat kerana hati berasa tidak tenang.

“Terkejut sangat apabila dimaklumkan kejadian itu. Amat terasa kehilangannya kerana dia anak yang bertanggungjawab menjaga adik-adiknya," katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini.

Disiarkan pada: October 8, 2017 @ 6:20pm
d