utama

Tangisan jumpa bapa kandung

Oleh Shahrulnizam Mohamad

HASRAT kanak-kanak lelaki yang dirantai bapa tiri pada tong gas di Indera Mahkota 1, Kuantan, Khamis lalu, bertemu bapa kandungnya termakbul, hari ini.

Difahamkan, kanak-kanak berusia 10 tahun itu menangis selepas melihat kehadiran bapa kandung yang datang melawatnya di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di Kuantan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia Pahang Datuk Shahaniza Shamsuddin berkata, lelaki berusia 36 tahun itu datang dari Teluk Mas, Melaka, 5 petang dan menghubungi pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk melawat anaknya.

"Saya berpuas hati dengan identiti lelaki berkenaan yang memaklumkam dia bapa kandung kanak-kanak terbabit. Pegawai JKM membawanya bertemu anaknya di HTAA," katanya ketika ditemui di Kuantan, semalam.

Beliau berkata, kanak-kanak berkenaan begitu gembira dapat bertemu bapa kandungnya dan menangis kerana mahu mengikut lelaki itu.

Katanya, namun disebabkan kes masih dalam siasatan polis dan kanak-kanak berkenaan dilindungi di bawah Akta Kanak-Kanak, JKM tidak membenarkan ahli keluarga datang mengambilnya.

"Kita tunggu anak ini keluar dari hospital. Pihak JKM akan membuat laporan serta menyerahkan kepada mahkamah. Selepas itu, mahkamah akan menentukan siapa yang layak untuk menjaga kanak-kanak ini," katanya.

Semalam, ketika menerima kunjungan Shahaniza di HTAA, kanak-kanak berkenaan menyuarakan hasrat untuk bertemu bapa kandungnya.

Dia memaklumkan kali terakhir bertemu bapa kandungnya itu pada Aidilfitri tahun lalu.

Shahaniza berkata, beliau sendiri bertemu dengan bapa kandung kanak-kanak itu hari ini.

"Lelaki itu meminta privasi dia dan keluarganya dijaga. Sebab itu, dia tidak mahu nama dan gambarnya diambil," katanya.

Menurutnya, lelaki berkenaan turut menyatakan kesediaan menjaga kanak-kanak itu termasuk dua lagi abangnya.

Berita berkaitan:

Ingin jumpa bapa kandung

Nak mendidik atau menyeksa?

Disiarkan pada: October 8, 2017 @ 9:51pm
d