utama

Sampai hatimu ibu...!

Oleh Mohd Rizal Abdullah

AKIBAT hutang, seorang ibu tergamak melacurkan anak perempuannya yang berusia 14 tahun kepada seorang lelaki, April lalu.

Perbuatan keji wanita berusia 30 tahun itu terbongkar selepas mangsa menceritakan pengalaman pahitnya itu kepada ketua kampung sebelum laporan dibuat di Balai Polis Lawas, hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak Datuk Dev Kumar berkata, sejurus menerima laporan pada 10.55 pagi, suspek ditahan di sebuah lokasi di Jalan Liaw Kim Liu, Lawas, pada 2.15 petang.

Menurutnya, selain penahanan wanita itu, seorang lagi wanita berusia 45 tahun yang juga pemilik sebuah pusat karaoke turut ditahan di Jalan Haji Matussin pada 3.05 petang .

Katanya, kedua-dua wanita terbabit dipercayai bersekongkol melacurkan mangsa kepada seorang lelaki di sebuah hotel di Lawas, April lalu.

“Mangsa memberitahu, ketika dia bekerja sebagai pelayan di sebuah pusat karaoke di Lawas, dia dipaksa ibu kandungnya dan pemilik karaoke itu untuk melakukan hubungan seks dengan seorang lelaki tidak dikenalinya.

“Ibu mangsa dikatakan menghadapi masalah hutang yang serius dan menyuruh mangsa mengikut lelaki itu ke sebuah hotel di Lawas,” katanya dalam satu kenyataan media di Kuching, hari ini.

Menurut Dev, mangsa turut melihat lelaki terbabit membayar RM1,000 kepada pemilik karaoke berkenaan.

“Kejadian dikatakan berlaku April lalu dan mangsa mendakwa lelaki itu merogolnya tiga kali di sebuah bilik di hotel berkenaan.

“Mangsa keluar dari hotel itu keesokannya namun tidak menceritakan kejadian ini kepada sesiapa. Dia kemudian menceritakan kejadian itu kepada ketua kampung tempat tinggalnya,” katanya.

Menurutnya, kedua-dua suspek yang ditahan sepasukan anggota pasukan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Lawas diketuai Inspektor Masri Lamsin akan dibawa ke Pejabat Daerah Lawas pagi esok, untuk permohonan reman.

“Usaha sedang dilakukan untuk mengenal pasti identiti lelaki yang didakwa merogol mangsa dan kes disiasat mengikut seksyen 376 Kanun Keseksaan dan Seksyen 43 (1) (a) & (d) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.

Disiarkan pada: October 8, 2017 @ 11:51pm
d