utama

Zukri capai misi

Oleh Aida Adilah Mat dan Rosli Ilham

Kerteh: “Saya nekad di Kerteh ini untuk tak beri peluang kepada Surachet Sin Jui kerana saya mahu merampas kejuaraan akhir di Selangor nanti,” kata pelumba Mohd Zukri Tahir yang muncul juara kategori lelaki junior master Kejohanan Harian Metro Mountain Bike Grand Prix (HMMTB) 2017 di Kerteh, kelmarin.

Pelumba dari pasukan Polygon Malaysia itu tewas kepada Surachet yang muncul juara pada sirkit pertama HMMTB yang berlangsung di Bukit Merah baru-baru ini.

Menurutnya, kegagalannya muncul juara pada kejohanan HMMTB di Bukit Merah adalah disebabkan tidak sempat menguji trek perlumbaan di situ.

“Saya akui disebabkan tidak sempat meninjau trek terbabit, saya tewas kepada Surachet kerana dia berjaya memasuki sebuah lorong kecil yang tidak saya sedari.

“Surachet muncul juara dan saya berada di tempat kedua tetapi hari ini saya sangat bersyukur kerana berjaya menewaskannya di Kerteh,” katanya.

Mohd Zukri berkata, untuk perlumbaan kali ini, dia lebih bersedia apabila memasuki kawasan perlumbaan untuk melihat keadaan trek pertandingan.

“Selepas meninjau dan membuat kajian keadaan trek, saya lebih bersedia dan sebaik perlumbaan bermula, saya memerah keringat seterusnya berjaya meninggalkan Surachet dan seorang lagi pelumba, Azizulazli Shaari untuk tiba dulu di garisan penamat,” katanya.

Katanya, kemenangan itu akan menjadi pembakar semangat untuk menyertai sirkit akhir HMMTB 2017 yang akan berlangsung di Selangor nanti.

“Saya tidak akan beri peluang sama ada kepada Surachet atau Azizulazli di depan dan saya akan pastikan kategori ini menjadi milik saya di Selangor nanti,” katanya.

Bagi kategori itu, Mohd Zukri menerima wang tunai RM1,000 dan pingat manakala Surachet menerima RM700 serta pingat sambil Azizulazli membawa pulang RM500 dan pingat.

Disiarkan pada: October 9, 2017 @ 7:06am
d