utama

Buku liberal antara yang diharamkan

Oleh Hayati Ibrahim

KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) mewartakan perintah larangan terhadap 22 penerbitan yang dilihat boleh memudarat atau mengelirukan pembaca terutama generasi muda, dan ia tidak sesuai untuk dijadikan bahan bacaan umum.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Seri Alwi Ibrahim berkata, perintah larangan itu dibuat melalui Warta Kerajaan P.U(A) 277-284 bertarikh 28 September 2017 dan P.U(A) 299 bertarikh 3 Oktober 2017.

"Warta Perintah Larangan ini adalah mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan

1984 (Akta 301) yang menetapkan pencetakan, pengimportan, penghasilan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran atau pemilikan hasil penerbitan ini adalah dilarang secara mutlak di Malaysia.

“Semua penerbitan ini dikenakan perintah larangan kerana terdapat kandungan yang mungkin memudaratkan ketenteraman awam; menggemparkan fikiran orang ramai; berlawanan dengan mana-mana undang-undang; memudaratkan moral dan memudaratkan kepentingan awam,” katanya dalam kenyataan di Putrajaya, hari ini.

Alwi berkata, penerbitan itu adalah Terjemahan al-Quran; al-Quran Translation: The Meaning of The Glorious Quran Korean Edition; The Meaning of The Holy Quran (Chinese Translation Edition); The Meaning of al-Quran (The Guidance for Mankind); The Quran Modern English Translation (640 muka surat); Terjemahan al-Quran Bahasa Melayu; The Quran Modern English Translation (431 muka surat); Terjemahan al- Quran Bahasa Melayu; Translation of The Quran.

Katanya, penerbitan ini ialah terjemahan ayat al-Quran dalam Bahasa Melayu/Inggeris/Bahasa dan Korea tanpa ayat asal al-Quran dalam Bahasa Arab.

Menurutnya, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa MKI Kali ke-110 memutuskan "Tidak harus menerbitkan dan mengedarkan Terjemahan al-Quran tanpa teks Asal AlQuran".

Penerbitan lain adalah "Tantra: The Search For Ecstacy" dan isi kandungannya memuatkan lukisan dan arca posisi persetubuhan keterlaluan yang dilihat bertentangan dengan nilai murni dan tatasusila masyarakat Malaysia.

Selain itu, penerbitan Aku ___, Maka Aku Ada!, mengandungi fakta yang mengelirukan menjurus kepada fahaman Syiah dan liberalisme yang dikhuatiri memesongkan akidah umat Islam yang berpegang kepada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Penerbitan ke-13 dan 14 iaitu Sekitar Masalah Tariqat (naqsyabandiyah) dan Meniti Jalan Hidayah: Menuju Toriqah Khotmul-Auliya dikesan mengandungi amalan ilmu tasawuf yang diselewengkan dan jelas bertentangan dengan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Bagi penerbitan Islam dan Iman: Aturan-Aturan Pokok dan Islam Kemodernan Dan Keindonesiaan pula mengandungi unsur yang mengelirukan umat Islam dan menyalahi syariah yang ditetapkan di dalam al-Quran dan hadis.

Sementara Islam Tanpa Keekstreman: Berhujah Untuk Kebebasan; Islam Without Extremes: A Muslim Case For Liberty; Wacana Pemikiran Reformis Jilid I dan II serta Ulama Yang Bukan Pewaris Nabi mempromosikan idea liberalisme, fakta dikupas menggunakan logik akal, mengandungi unsur penghinaan terhadap Islam dan jelas menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar.

Penerbitan Sapuman: Man of Steal pula memuatkan karikatur yang mungkin memudaratkan kepentingan negara.

Alwi berkata, bagi penerbitan terjemahan al-Quran tanpa teks asal Al-Quran, sebarang penterjemahan ke dalam bahasa lain wajib dilakukan mengikut ayat asal al-Quran.

Ini kerana, katanya, terjemahan tanpa disertakan ayat asal tidak semestinya tepat disebabkan penterjemahan perlu dilakukan mengikut kaedah bahasa Arab yang ada peraturan tertentu.

"Sehubungan itu, mana-mana orang yang mencetak, mengimport, menghasilkan, menghasilkan

semula, menerbit, menjual, mengeluar, mengeliling, menawarkan untuk menjual, mengedar atau ada dalam milikannya bagi apa-apa jua maksud seperti itu apa-apa hasil penerbitan larangan melakukan suatu kesalahan.

"Jika disabitkan boleh dipenjarakan tidak lebih tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20 atau kedua-duanya sekali seperti ditetapkan mengikut Seksyen 8 (2) Akta 301," katanya.

Disiarkan pada: October 9, 2017 @ 5:02pm
d