utama

Belajar selok-belok terbit lagu

Oleh HM Digital

Pembabitan awal Shiha dalam industri muzik tanah air mula mendapat perhatian selepas terbabit dalam program realiti Mentor musim kelima pada 2011.

Bagaimanapun, bekas protege biduanita Allahyarham Datuk Sharifah Aini itu kemudian sekali lagi mempertaruhkan bakatnya dalam program realiti di Indonesia, D’Academy Asia pada 2015.

Jika sebelum ini, kerjaya nyanyiannya pernah terikat dengan label syarikat pengurusan dan rakaman tertentu bagi beberapa penerbitan lagunya, kini Shiha sudah bergerak bebas.

Penyanyi berusia 30 tahun itu berkata, dia kini sudah bergerak sendiri di bawah syarikat pengurusannya sendiri iaitu SZ Entertainment yang ditubuhkan sejak awal tahun ini.

“Nama SZ dipilih bersempena nama saya iaitu Shiha Zikir. Saya sudah tidak terikat dengan mana-mana syarikat pengurusan. Alhamdulillah saya selesa dengan keputusan ini,” katanya.

Menurut Shiha, keputusan tidak bernaung dengan mana-mana syarikat rakaman itu bukan bermaksud dia bermasalah dengan pihak tertentu.

Katanya, orang sekeliling yang pernah bekerja dengannya masih bersifat terbuka untuk memberikan sebarang bantuan dan tunjuk ajar.

“Selepas tamat kontrak dengan Wake The Baby milik Ajai pada Mac lalu, kami masih baik. Malah, Ajai masih menawarkan diri sekiranya saya memerlukan apa-apa bantuan. Dia banyak memberi sokongan kepada saya.

“Namun, apabila semuanya dilakukan sendiri, banyak perkara yang perlu saya pelajari mengenai selok-belok menerbitkan lagu. Bagaimanapun, saya anggap ini adalah proses pembelajaran berguna untuk mengembangkan perniagaan dalam bidang nyanyian pada masa akan datang,” katanya.

Menurut Shiha, bagi tempoh jangka panjang dia juga mempunyai perancangan merekrut beberapa artis lain di bawah syarikat pengurusannya itu.

“Itu antara impian saya dalam mengembangkan SZ Entertainment,” katanya yang kini muncul dengan single terbaru berjudul Jagakan Dia.

Bercerita mengenai lagu terbaru itu, Shiha berkata, ia hasil ciptaan komposer dan penyanyi, Ippo Hafiz.

“Saya kagum dan mengikuti karya Ippo Hafiz. Saya datang berjumpa dan meminta lagu daripadanya.

“Apabila mendengar lagunya itu, saya terus jatuh hati dan mahu menya­nyikannya. Kebetulan pula pada waktu itu Ippo beritahu dia belum menemui penya­nyi yang bersesuaian untuk membawakan lagu terbabit,” katanya.

Katanya, lagu terbabit sudah menjalani proses rakaman pada Julai lalu. Klip video lagu yang menggunakan khidmat pelakon Saharul Ridzwan itu juga sudah selesai penggambarannya dan bakal dilancarkan pada 16 Oktober ini.

“Ia membabitkan kos hampir RM100,000. Ini kerana saya mahukan yang terbaik untuk single terbaru ini. Apa yang menarik, ia dihasilkan berdasarkan kisah benar,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai kisah peribadinya, Shima berkata, selepas tujuh tahun menjalin hubungan cinta dengan jejaka bernama Arul, dia belum bersedia berkahwin selepas melihat kerjaya seninya semakin membuahkan harapan.

“Saya belum berani menetapkan sebarang tarikh pernikahan. Sebelum ini saya pernah beritahu untuk berkahwin tahun ini, namun saya rasa masanya belum sesuai kerana perlu tumpukan kepada kerjaya.

“Lagipun, saya sudah lama berusaha untuk berada dalam industri hiburan. Walaupun Arul sudah bersedia memperisterikan saya, dia sentiasa positif dan menyokong saya.

“Namun, saya tidak menolak jodoh jika masanya sudah tiba,” katanya. -Najiy Jefri

Disiarkan pada: October 11, 2017 @ 4:23am
d