utama

Padah tukar wajah

Oleh Agensi

Seoul: Tiga wanita China yang melancong ke Korea Selatan bagi menjalani pembedahan plastik dilaporkan terkandas di lapangan terbang kerana wajah mereka berbeza dengan gambar di pasport.

Trio itu dipercayai baru menjalani pembedahan dengan wajah mereka yang kelihatan bengkak dan kepala yang masih berbalut.

Wajah mereka dikatakan sangat berbeza dengan gambar di pasport dan ditahan oleh pegawai imigresen ketika mahu menaiki penerbangan pulang ke China.

Satu gambar yang menunjukkan tiga wanita dengan muka bengkak dan kepala masih berbalut duduk di sebuah lapangan terbang di Korea Selatan kini tular di Internet.

Media China melaporkan, wanita itu mengambil kesempatan daripada cuti ‘Minggu Emas’ untuk melancong ke Korea Selatan bagi menjalani pembedahan plastik.

Korea Selatan terkenal dengan klinik pembedahan plastik bertaraf dunia dan sering dikunjungi pelanggan dari China serta Jepun.

Gambar tiga wanita itu pada mulanya dimuat naik di laman Weibo milik seorang pembaca berita China sebelum tular di Internet.

Dalam laporan itu, ketiga-tiga wanita berkenaan dilaporkan menunggu identiti mereka disahkan sebelum dibenarkan menaiki pesawat.

Mereka antara kumpulan pelancong dari China yang ke Korea Selatan untuk menjalani pembedahan plastik ketika cuti umum selama lapan hari.

Antara pembedahan yang sering dilakukan wanita Asia termasuk pembedahan kelopak mata, hidung dan tulang pipi untuk kelihatan lebih cantik.

Disiarkan pada: October 11, 2017 @ 4:50am
d