utama

Empat lagi MARA Digital

Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop

Ipoh: Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah mengenal pasti empat lokasi membabitkan Melaka, Johor, Terengganu dan Kelantan untuk pembukaan MARA Digital bagi terus membangunkan usahawan Bumiputera dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Ia selepas empat lokasi dibuka sehingga tahun ini iaitu bermula dengan Menara MARA di Kuala Lumpur, Anggerik Mall di Shah Alam, Bazar MARA Medan Jaya di Ipoh yang dirasmikan semalam serta di Kuantan, Pahang yang dijangka dibuka hujung bulan ini.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pihaknya kini berunding untuk pembukaan di empat lokasi itu dan menyasarkan satu negeri satu MARA Digital pada masa akan datang.

Katanya, ia bertujuan bagi memberi peluang kepada usahawan Bumiputera dalam bidang itu di seluruh negara selepas melihat usahawan ICT dalam kalangan Bumiputera jauh ketinggalan.

Menurutnya, berdasarkan statistik, jumlah pengguna telefon bimbit serta gajet di negara ini 11 juta dan 62 peratus daripada jumlah itu pengguna Melayu.

“Walaupun MARA Digital baru dibuka setahun lebih, jualannya melebihi RM18 juta manakala setakat Ogos 2017 seramai 585,580 pengunjung dicatatkan menunjukkan keperluan mewujudkan lebih banyak MARA Digital.

“Pengguna pula tidak perlu risau dengan barangan yang dibeli di MARA Digital kerana ia tulen dan pemantauan sentiasa dijalankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK),” katanya dalam sidang media selepas merasmikan MARA Digital, di sini, semalam.

MARA Digital di negeri ini yang ketiga dibuka selepas di Medan MARA dan Anggerik Mall menempatkan 20 kedai iaitu lima kedai konsep manakala 15 lagi kios dengan menawarkan jualan serta pembaikan barangan ICT.

Ismail Sabri mengingatkan peniaga di MARA Digital memastikan ketulenan barangan yang dijual atau berhadapan dengan hukuman iaitu tidak dibenarkan lagi menjalankan perniagaan mereka.

Katanya, pembukaan di Perak diharap memberikan lebih pilihan kepada pengguna barangan ICT di negeri itu dalam memilih barangan kegunaan mereka.

Disiarkan pada: October 13, 2017 @ 7:28am
d