utama

Boleh betul-betul mati [METROTV]

Oleh Rizanizam Abdul Hamid

“ITU kerja gila kerana tindakan itu boleh bawa maut atau remaja berkenaan mendapat serangan strok,” kata Timbalan Ketua Kluster Pembangunan Sosial dan Kesejahteraan Majlis Profesor Negara (MPN) Prof Datuk Dr Mohd Taib Dora.

Beliau mengulas aksi video 'mati 5 saat tekan dada' dilakukan tiga remaja yang tular di media sosial hari ini dan menyifatkannya sebagai gurauan yang keterlaluan kerana boleh membawa maut.

Video berdurasi 25 saat itu menunjukkan seorang remaja lelaki dipercayai pelajar sekolah menengah melakukan aksi menekan dada rakan sebayanya yang berdiri dan bersandar dinding.

Seorang lagi remaja lelaki lain kemudian turut menolak belakang badan rakannya bagi memberi kesan tolakan lebih kuat pada dada remaja yang sedang bersandar.

Selepas beberapa saat, remaja yang bersandar itu tiba-tiba rebah menyebabkan dua rakannya itu panik seketika sebelum ketiga-tiganya ketawa apabila remaja pertama tersedar daripada 'kematian'.

Mengulas lanjut, Mohd Taib berkata, remaja berkenaan boleh maut sekiranya oksigen tidak sampai ke otaknya selama tujuh saat.

"Bagi saya ia tindakan yang bodoh kerana selain boleh mengakibatkan kematian, serangan strok juga boleh berlaku menyebabkan remaja terbabit lumpuh.

"Apabila dada kita ditekan, ia menghentikan fungsi jantung yang menghantar oksigen ke otak seterusnya menyebabkan kematian," katanya.

Disiarkan pada: October 13, 2017 @ 5:03pm
d