utama

'Alhamdulillah... Allah berikan saya rezeki ini' [METROTV]

Oleh Sudirman Mohd Tahir

PENYANYI tersohor Datuk Siti Nurhaliza mengesahkan dia kini hamil empat bulan.

Siti yang ditemui pada majlis doa selamat dan kesyukuran di kediamannya di Ampang, malam tadi berkata, dia bersyukur disahkan hamil selepas mengalami keguguran dua tahun lalu.

“Selama empat bulan menyepi banyak berita dan spekulasi yang timbul mengenai diri saya. Namun saya tetap mengambil keputusan untuk berdiam diri.

“Tidak ada sebab lain, melainkan saya ingin menjaga kehamilan peringkat pertama. Apabila disahkan hamil, saya mengambil keputusan untuk memberi fokus kepada kandungan.

“Lagi pula ini penantian saya dan suami selama 11 tahun. Jadi, saya fikir biarlah berehat daripada menyanyi dahulu. InsyaAllah selepas ini saya boleh fokus semula,” katanya.

Siti juga mengakui dia melakukan rawatan kesuburan di pusat perubatan di Petaling Jaya.

“Diakui, ini percubaan saya yang ke beberapa kali. Alhamdulillah, kali ini Allah berikan saya rezeki ini.

“Ini cahaya mata yang saya impikan selama ini. Selama empat bulan saya berdiam diri dalam bilik,” katanya.

Siti juga mahu semua pihak yang berurusan dengan pihak syarikatnya faham akan situasi yang dilalui kini.

“Saya berterima kasih kepada semua peminat yang tidak berhenti mendoakan kesejahteraan dan kesihatan.

“Saya berharap penjelasan ini dapat merungkai segala persoalan. Diharap tidak ada lagi sebarang spekulasi timbul.

“Apa pun, doakan semoga semuanya selamat dan berjalan lancar,” katanya.

Disiarkan pada: October 13, 2017 @ 10:32pm
d