utama

Kasihan adik Izz Danish...

Oleh Mazizul Dani

“MENANGIS saya minta doktor supaya selamatkan jari anak saya tetapi apa boleh buat, sebahagian jari hantunya terpaksa juga dipotong.”

Demikian kata Michelle Dapirine, 22, apabila sebahagian jari anak bongsunya daripada dua beradik, Izz Danish Abdullah Nizam berusia setahun, hancur tersepit alat permainan menyerupai monyet.

"Kejadian berlaku 7 pagi semalam ketika saya sedang menyediakan sarapan dan anak bermain di ruang tamu. Tiba-tiba dia menjerit dan menangis.

"Saya tengok badan dia sudah penuh dengan darah dan permainan itu ada berdekatan dan dia jadi takut dengan permainan itu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Michelle memuat naik mengenai kejadian itu di Facebook (FB) disertakan dengan gambar sehingga ia tular dan dikongsi lebih 15,000 kali.

Dia turut membuat demonstrasi menggunakan kayu kecil dan ternyata, alat permainan itu mampu mematahkan kayu berkenaan apabila diletakkan dalam lubang pada mainan itu dan tangan monyet dirapatkan.

"Selepas kejadian, saya jadi trauma dan geram sangat rasa mahu bakar semua. Selain monyet itu, saya buang juga alat permainan lain yang saya rasa tak perlu diberikan kepada anak.

"Ramai juga yang memberikan komen di FB saya mengatakan ada membelikan permainan itu kepada anak-anak mereka dan saling mengingati ibu bapa lain supaya berhati-hati," katanya.

Michelle yang menetap di Taman Sayang di Papar, Sabah, membeli alat permainan itu pada harga RM6.50 beserta dengan gula-gula pelbagai warna pada bahagian bawahnya.

"Ada yang memarahi saya kerana tidak menjaga anak. Saya sedang menyediakan sarapan, memang saya tidak boleh memerhatinya setiap masa.

"Nasihat saya kepada ibu bapa, malang tidak berbau, keseluruhan bahagian kuku jari tengah anak saya terpaksa dibuang kerana hancur.

"Kita perlu lebih peka apabila memberikan permainan kepada anak-anak kerana banyak permainan sebenarnya tidak bersesuaian untuk yang berusia bawah tiga tahun," katanya yang juga seorang suri rumah.

Disiarkan pada: October 13, 2017 @ 11:58pm
d