utama

Pagar anti gajah

Oleh Safuri Kamarudin

Baling: Ancaman berterusan gajah liar di Mukim Siong di sini, hingga merosakkan banyak tanaman penduduk bakal diatasi dengan pemasangan pagar elektrik di laluan haiwan berkenaan bagi mengelak ia terus menceroboh kawasan kampung.

Inisiatif pemasangan pagar itu dilakukan Ahli Parlimen Baling Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim yang menyalurkan peruntukan RM20,000 bagi tujuan itu.

Pagar elektrik sepanjang 3.5 kilometer itu dipasang di laluan yang sering dimasuki kumpulan gajah liar di sekitar kawasan Hutan Ulu Muda dan Gunung Inas di sini.

Antara kampung yang menjadi sasaran gajah liar adalah Kampung Seri Ketengga, Batu Lapan, Tanjung Pari dan Rambong Batu Tujuh.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) negeri Inche Ali Che Aman berkata, kawasan Hutan Ulu Muda dan Gunung Inas menjadi laluan gajah mencari makanan apabila kehabisan makanan di habitat asalnya.

Beliau berkata, gajah liar bergerak dalam kumpulan sehingga enam ekor di sekitar hutan itu dan ia masuk sehingga kira-kira 100 meter ke penempatan penduduk sebelum memusnahkan tanaman.

“Pokok pisang, kelapa, dokong dan sayuran turut musnah dimakan gajah, selain penduduk tidak berani keluar menoreh getah.

“Justeru, kita mengambil langkah memasang pagar elektrik bagi menghalang haiwan liar itu masuk sehingga ke penempatan penduduk kerana untuk memindahkan gajah ke habitat asal, ia menelan kos tinggi,” katanya pada majlis Memasang Pagar Elektrik Menghalau Gajah di Kampung Seri Ketengga, Mukim Siong kelmarin.

Hadir sama Pegawai Perhilitan Baling, Mohd Nazri Maruddin.

Abdul Azeez pula mengatakan pemasangan pagar elektrik dilihat lebih berkesan kerana gajah terkesan apabila terkena renjatan dan tidak menghampiri kawasan kebun penduduk.

“Bila kita pasang pagar elektrik, haiwan itu tidak berani menghampiri kawasan penempatan penduduk.

“Saya difahamkan, kos untuk menangkap dan memindahkan seekor gajah liar ke habitat asal mencecah sehingga RM60,000.

“Melalui pemasangan pagar elektrik, ia mengurangkan kos. Setakat ini tiada laporan kejadian tidak diingini berlaku cuma tanaman penduduk musnah dimakan gajah liar,” katanya.

Disiarkan pada: October 14, 2017 @ 8:17am
d