utama

'Kenapa nak malu' kata Siti Nurhaliza

Oleh Sudirman Mohd Tahir

PENYANYI popular, Datuk Siti Nurhaliza yang kini hamil empat bulan mengakui menjalani rawatan kesuburan ‘In Vitro Fertilization (IVF)’ dalam usaha mendapatkan cahaya mata.

Siti, 38, berkata, itu adalah percubaan ketiga dilakukannya sepanjang tempoh 11 tahun berkahwin dengan Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa, 58.

“Saya okay untuk berkongsi. Kenapa perlu ada rasa malu? Ini kerana ramai lagi yang senasib dengan saya. Malah, ada yang lebih lama. Saya ingin berkongsi dengan wanita lain.

“Namun, dua tahun lalu, saya hamil normal tetapi keguguran ketika kandungan berusia dua bulan.

"Memikirkan usia yang kian meningkat, saya perlu kejar masa. Jadi, saya mengambil keputusan untuk menjalani rawatan IVF buat kali ketiga. Alhamdulillah, Allah SWT berikan rezeki ini,” katanya.

Siti berkata, sepanjang menjalani rawatan itu dia terpaksa duduk dalam bilik selama tiga bulan dan dinasihatkan supaya tidak banyak berjalan.

“Saya disahkan hamil selepas Aidilfitri lalu. Disebabkan itu, saya perlu fokus dan perlu banyak berehat.

“Selain itu, proses rawatan ini ada banyak peringkat. Sepanjang tiga bulan saya hanya duduk dalam bilik.

“Sehinggakan kalau nak turun naik tangga, suami dukung atau angkat menggunakan kerusi roda. Saya dinasihatkan supaya tidak terlalu banyak bergerak.

"Alhamdulillah, sekarang saya memasuki peringkat kedua kehamilan. Saya bersyukur segalanya dipermudahkan dan berdoa semoga semuanya berjalan lancar," katanya.

Siti turut berkongsi bahawa dirinya dalam proses membuka pusat rawatan kesuburan IVF bawah Yayasan Nur Jiwa.

Pusat rawatan ini akan beroperasi dengan kerjasama Doktor Collin iaitu pakar perubatan yang membantunya menjalani proses IVF.

"Pusat rawatan ini untuk memberi peluang kepada wanita yang mengalami nasib macam saya mencuba rawatan ini pada kadar termampu.

"Insya-Allah, kami masih dalam proses perlaksanaan dan dijangka dibuka pada awal tahun depan," katanya.

Siti berkongsi khabar gembira mengenai kehamilannya pada satu majlis khas yang diadakan di rumahnya di Bukit Antarabangsa, malam tadi.

Berita berkaitan

Datuk K nak timang anak perempuan [METROTV]

'Alhamdulillah... Allah berikan saya rezeki ini' [METROTV]

Disiarkan pada: October 14, 2017 @ 3:51pm
d