utama

Berkat kesabaran

Oleh Sudirman Mohd Tahir

Tiada yang lebih menggembirakan buat penyanyi tersohor negara, Datuk Siti Nurhaliza apabila dia kini hamil empat bulan pada usia 38 tahun.

Apatah lagi, berita gembira itu satu penantian panjang selepas 11 tahun berkahwin dengan suami tercinta, Datuk Sri Khalid Mohamad Jiwa, 58.

Bagi Siti, itu adalah anugerah terindah dalam hidupnya selepas mengalami keguguran pada November 2015.

Apa yang pasti, perkongsian berita gembira itu menamatkan segala spekulasi yang timbul sepanjang Siti berehat dalam bidang seni.

Malah, kehamilan Siti itu juga adalah hadiah berharga buat semua peminat yang sentiasa mendoakan kesejahteraannya.

“Saya lega apabila dapat berkongsi perkara ini. Saya berdiam diri kerana sebab tertentu. Saya pernah mengalami keguguran pada 2015, jadi tidak mahu perkara sama berulang. Tambahan pula, saya dinasihati alim ulama agar tidak menghebohkan perkara ini pada peringkat awal kehamilan.

“Alhamdulillah, sekarang saya memasuki peringkat kedua kehamilan. Saya bersyukur segalanya dipermudahkan dan berdoa semoga semuanya berjalan lancar. Bagi saya, kurniaan ini adalah berkat kesabaran menanti,” katanya.

Siti yang dijangka bersalin pada Mac tahun depan berkata, suaminya antara individu paling gembira saat mengetahui dirinya hamil.

“Suami tetap percaya kepada rezeki Allah. Malah, dia tidak pernah menghalang untuk saya mencuba. Apatah lagi menjadi impiannya untuk melihat saya menjadi ibu. Disebabkan itu, apabila dia mengetahui saya hamil, dia sangat gembira.

“Malah suami juga pernah bercakap, sekiranya memang tidak ada rezeki kami memiliki anak, dia tetap sayangkan saya,” katanya.

Sementara itu, Datuk Sri Khalid atau lebih mesra disapa Datuk K berkata, mereka sentiasa berusaha dengan pelbagai cara dan rawatan untuk mendapatkan anak.

“Sepanjang 11 tahun, kami bukannya tak berusaha. Orang kata, kami banyak duit, kenapa tak usaha?

“Kalau nak tahu, selepas dua tahun berkahwin kami sudah usaha macam-macam. Cuma, kami tidak berkongsi,” katanya.

Hak eksklusif

Berita kehamilan Siti memang dinantikan semua pihak. Malah sepanjang usia perkahwinannya, Siti tidak lepas diajukan persoalan itu.

Pastinya juga, khabar gembira ini membuatkan banyak pihak dan stesen TV mulai merencana sesuatu seperti mendapatkan hak eksklusif sama seperti majlis perkahwinannya dahulu.

“Buat masa sekarang, saya tidak terfikir lagi perkara ini atau terbabit dalam program sendiri. Apa yang penting, saya ingin fokus kepada kesihatan diri dan kandungan.

“Saya juga tidak melakukan aktiviti lain termasuk terbabit dengan pilihan raya. Ia hanya spekulasi yang ditimbulkan pihak tertentu,” katanya.

Berkongsi mengenai kehamilannya, Siti mengakui mengalami alahan pada tiga bulan pertama.

Siti berkata, dia mengalami alahan pada kulit wajah, hilang selera makan dan berat badan turun.

“Saya tidak pernah melalui pengalaman ini. Pada usia sekarang, banyak perkara baru saya tempuh terutama ketika hamil. Selain mengalami masalah ruam pada kulit wajah, saya juga tidak mahu berjumpa orang.

“Dari segi pemakanan, berubah 100 peratus. Dahulu saya sukakan makanan pedas, sekarang tidak. Malah saya juga tidak boleh makan juadah masam dan manis. Seperkara lagi, saya tidak boleh hidu bau masakan. Keinginan untuk makan ada tetapi apabila makanan dihidangkan, selera pula hilang.

“Alhamdulillah, sekarang semuanya okey. Perkara ini membuatkan saya sedar betapa besarnya pengorbanan ibu ketika mengandungkan kami adik-beradik. Saya kagum dengan wanita yang melahirkan ramai anak,” katanya.

Menurut Siti, ibu mentuanya banyak membantu dan menyediakan makanan untuknya.

“Mak mentua selalu bertanya saya nak makan apa. Dia rajin menyediakan makanan untuk saya. Cuma, pada peringkat pertama kehamilan saya banyak makan bubur nasi. Disebabkan itu, berat saya turun. Namun sekarang berat sudah naik mencecah 70 kilogram,” katanya yang mengamalkan bacaan Surah Yasin, Yusof dan Maryam selepas solat Subuh.

Teringin anak perempuan

Ditanya mengenai jantina anak, Siti belum dapat sebarang kepastian. Namun, dia mengimpikan anak perempuan sama seperti suaminya.

“Mungkin masih terlalu awal, insya-Allah bulan depan baru boleh tahu. Malah saya janji akan berkongsi perkara ini. Cuma, saya berharap ia perempuan. Namun, saya tidak mahu menolak rezeki Allah. Asal saja anak yang bakal lahir sihat dan cukup sifat.

“Sekiranya anak perempuan, nama mesti ada Siti. Kalau lelaki tak tahu lagi. Suami pula, sudah ada nama,” katanya.

Perkembangan lain, Siti buat pertama kalinya akan membuat kemunculan depan khalayak pada majlis makan malam amal anjuran Yayasan Pintar pada 18 November ini.

Pada majlis itu, Siti bakal menyanyikan lagu Kau Ilhamku dengan diiringi pasukan band terdiri daripada beberapa ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat yang boleh bermain muzik.

Siti juga berkongsi, dia terpaksa menolak beberapa tawaran besar membabitkan persembahan di Jerman dan Amerika Syarikat atas faktor keselamatan dan kesihatan.

“Saya menolak kerana tidak mahu ambil risiko. Tidak mengapa kerana ada yang lebih penting untuk dijaga. Lagipun, doktor menasihati saya agar tidak banyak berjalan.

“Bagi saya ini anugerah paling berharga yang perlu dijaga sebaiknya. Soal kerjaya, Insya-Allah rezeki tidak ke mana. Doakan anak dalam kandungan sihat dan selamat bersalin nanti,” katanya.

Siti juga baru selesai merakamkan sebuah lagu kanak-kanak untuk program Didi & Friends bagi sebuah stesen TV.

Disiarkan pada: October 16, 2017 @ 6:50am
d