utama

10 cedera kemalangan bas dan kereta

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

LAPAN pekerja kilang dan dua lelaki cedera apabila bas dan kereta bertembung di Jalan Labu, berhampiran Taman Gadong Jaya, Nilai, awal pagi ini.

Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBDP) Seremban 2, Khairuddin Mohammad, berkata kejadian pada 6.56 pagi.

Menurutnya, bas berkenaan dari arah Seremban menuju ke Nilai bagi menghantar 23 pekerjanya ke kilang.

Katanya, sebaik tiba di lokasi, Proton Iswara dari arah bertentangan hilang kawalan lalu merempuh bas terbabit.

“Akibat pelanggaran, bas itu terbabas ke kiri jalan dan merempuh kuil. Sementara itu kereta yang dinaiki dua lelaki pula terbabas di bahu jalan,” katanya.

Khairuddin berkata, pihaknya menerima panggilan pada 6.57 pagi.

“Sejurus tiba, kami mendapati lapan daripada 23 penumpang bas tercedera.

“Pada masa sama, pemandu dan penumpang kereta masing-masing berusia 26 tahun tersepit dalam kenderaan,” katanya.

Menurutnya, pihaknya mengeluarkan semua mangsa dan 10 individu berkenaan dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ), Seremban untuk rawatan lanjut.

"Kemalangan ini membabitkan empat wanita Melayu, empat wanita India dan dua lelaki India," katanya.

Disiarkan pada: October 16, 2017 @ 10:16am
d