utama

Harraz perlu alat bantuan pernafasan baru

Oleh Mazizul Dani

“ALAT bantuan pernafasan yang digunakan Harraz sekarang tidak sesuai dengannya. Doktor sarankan anak saya gunakan jenis BiPAP (Bilevel Positive Airway Pressure) untuk kegunaan di rumah.”

Demikian kata Nik Nurul Shuhada Nik Soh@Nik Yusoff, 23, mengenai keadaan terkini anaknya, Muhammad Harraz Naufal Saiful Shahrin, dua bulan, yang menghidap Spinal Muscular Atrophy (SMA).

Nik Nurul Shuhada bagaimanapun buntu untuk mendapatkan wang membeli alat bantuan pernafasan baru yang dianggarkan berharga antara RM20,000 hingga RM50,000, sedangkan dia dan suami, Saiful Shahrin Salleh, 24, tiada pendapatan tetap.

Mereka terpaksa mengharapkan wang simpanan yang semakin menyusut sementara suaminya sedang mencari pekerjaan tetap di Kota Bharu, Kelantan selepas berpindah dari Kuantan, Pahang.

"Sekarang doktor sudah rujuk kepada bahagian kebajikan hospital (Hospital Universiti Sains Malaysia, HUSM, Kubang Kerian) mengenai masalah ini, tetapi doktor beritahu proses ini mengambil masa lima bulan.

"Pihak kebajikan hospital pula hanya mampu menanggung sebahagian kos pembelian alat berkenaan, manakala selebihnya kami perlu tanggung atau kami perlu mohon daripada mana-mana pihak," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Selepas 25 hari dilahirkan pada 3 Ogos lalu, Muhammad Harraz Naufal disahkan menghidap SMA, yang menyebabkannya menghadapi masalah pergerakan, pernafasan dan pemakanan.

Kisah penderitaan si kecil Muhammad Harraz Naufal ini pernah disiarkan Harian Metro pada 3 Oktober lalu.

Kepada yang ingin memberi sumbangan boleh salurkan ke akaun Maybank 156094354489 atas nama Nik Nurul Shuhada Nik Soh@Nik Yusoff.

Berita berkaitan:

Mudah-mudahan Muhammad Harraz sembuh [METROTV]

Disiarkan pada: October 16, 2017 @ 9:45pm
d