utama

Mencari damai di hati

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

Kuala Lumpur: “Jiwa saya berasa tenang jika dapat membantu mereka yang berada dalam kesusahan.

“Meskipun bantuan dihulurkan tidak seberapa namun bagi saya, baik membantu sedikit daripada tidak membantu langsung,” kata Muhamad Fairos Ishak, 32.

Semangat anak muda dari Batu Kawan, Pulau Pinang itu wajar dicontohi dan dia antara belia yang kerap menjayakan aktiviti kebajikan di kawasan utara semenanjung.

Bergerak bersama kelabnya, Budak Penang Crew (BPC), Muhamad Fairos kini aktif menyertai pelbagai program amal termasuk membantu golongan kurang bernasib baik bersama beberapa lagi pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Muhamad Fairos berkata, pembabitannya dalam bidang kesukarelawanan bermula pada 2014 apabila dia menziarahi seorang nenek berusia hampir 100 tahun di Kuala Nerang, Kedah.

“Kisah nenek berkenaan begitu menyayat hati kerana di sebalik ketidakupayaannya, dia masih lagi mahu menjaga anaknya yang kurang upaya (OKU).

“Ia benar-benar membuka hati saya dan memberi persepsi baru terhadap aktiviti amal bagi membantu meringankan beban masyarakat yang memerlukan,” katanya.

Menurut Muhamad Fairos, kumpulan BPC diwujudkan hampir tiga tahun lalu hasil inisiatif bersama rakan di laman sosial (Facebook).

Kata Muhamad Fairos, fokus utama mereka membantu golongan kurang berkemampuan, anak yatim serta gelandangan di negeri terbabit.

“Antara program yang kami jayakan adalah pasar lambak amal untuk penghuni flat Projek Perumahan Rakyat (PPR), bantuan makanan kepada gelandangan di sekitar Komtar serta Masjid Kapitan Keling, menziarahi rumah keluarga miskin dan bantuan persekolahan kepada anak yatim.

“Dalam aktiviti kebajikan itu, kami tidak keseorangan kerana beberapa NGO lain termasuk Persatuan Gerakan Amal Bersama (GRAB), Thegagaks, Mutiara Prihatin dan banyak lagi turut sama menyertainya, sekali gus menjadikan setiap program diadakan lebih berskala besar,” katanya.

Jelas Muhamad Fairos lagi, program amal yang disertai kelabnya juga unik kerana memberi tumpuan kepada keperluan utama kumpulan sasaran.

Katanya, program pasar lambak (flea market) contohnya, ahli NGO atau rakan terdekat mahupun individu persendirian datang bersama pakaian, makanan dan alat tulis untuk disumbangkan kepada penduduk di sesuatu kawasan.

“Mereka (penduduk) boleh mengambil apa saja yang diperlukan tanpa sebarang bayaran dan aktiviti sebegini sedikit sebanyak membantu keluarga yang memerlukan.

“Selain itu, ia dapat mengeratkan lagi hubungan antara kelab dan penduduk setempat,” katanya.

Sementara itu, Muhamad Fairos berkata, kelabnya akan bersama menjayakan Program Kembali ke Sekolah 2018 bagi membantu 100 pelajar (asnaf dan anak yatim) di sekitar Pulau Pinang.

“Kami dalam fasa mengumpul dana dan sumbangan diterima digunakan bagi membeli barangan keperluan pelajar seperti beg, kasut, baju serta alat tulis.

“Ia akan diadakan 3 Disember ini di sebuah pusat beli-belah dan orang ramai yang ingin membantu boleh menghulurkan sumbangan ke akaun Maybank, Persatuan Gerakan Amal Bersama 557344065092,” katanya.

Disiarkan pada: October 17, 2017 @ 7:40am
d