utama

'Beri kami masa' kata Ketua Polis Negara

Oleh Siti A'isyah Sukaimi

BELUM ada tangkapan berhubung video viral yang dikatakan pegawai kanan SPRM yang didakwa mempunyai hubungan sulit dengan isteri orang.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, berkata pihaknya sedang melakukan siasatan terhadap kes itu.

Malah, katanya, sehingga ini tiada laporan pun dibuat oleh pihak SPRM.

"Siasatan berjalan ketika ini dan kita sedang kenal pasti...jika perlu tangkap...kita akan buat. Beri kami masa.

“Bukan mudah kami mengesannya (mereka yang bertanggungjawab). Kita juga ada menerima laporan berhubung kes itu," katanya pada sidang media Majlis Perasmian Ibu Pejabat Polis KLIA, Sepang, hari ini.

Pada 13 Oktober lalu, beliau dilaporkan berkata, polis mengesahkan menerima aduan ada pegawai kanan SPRM mempunyai hubungan sulit dengan isteri orang.

Mohamad Fuzi dipetik, berkata siasatan dibuat susulan laporan polis yang diterima pihaknya.

Dalam pada itu, beliau berkata, siasatan kes berkenaan dibuat mengikut Seksyen 498 Kanun Keseksaan.

Seksyen berkenaan memperuntukkan perbuatan memikat atau membawa pergi atau menahan seseorang wanita yang bersuami dengan tujuan mengadakan hubungan seks adalah satu kesalahan jenayah.

Sebelum ini, satu akhbar berbahasa Cina melaporkan ada individu membuat laporan polis selepas menonton klip video di YouTube membabitkan pegawai kanan SPRM dan wanita terbabit.

Pengadu mendakwa hubungan sulit itu menyebabkan rumah tangga wanita yang mempunyai dua anak itu musnah dan bercerai dengan suaminya, pada 28 September lalu.

Disiarkan pada: October 17, 2017 @ 1:24pm
d