utama

Kejamnya!

Oleh Iskandar Shah Mohamed dan Amirul Aiman Hamsuddin

“WALAUPUN perbuatan itu kejam dan tidak berperikemanusiaan, saya memaafkan individu berkenaan dan tidak mahu bermusuhan dengan sesiapa,” kata Muhamad Rosmawar, 30, pemilik anak kucing yang dibunuh dan dikerat sebelum bangkainya ditemui di depan pintu rumahnya di Sekinchan, Isnin lalu.

Gambar anak kucing yang dikerat itu menjadi tular di media sosial sehingga mendapat perhatian netizen yang bersimpati dan berang dengan penemuan bahagian kepala dan badan haiwan kecil itu bersama sebahagian kaki belakang.

Muhamad berkata, dia terkejut menemui bangkai kucing betina berusia dua minggu itu di depan pintu rumahnya, kira-kira 8 pagi.

"Dua hari sebelum kejadian, kucing itu hilang daripada sangkar di depan rumah saya. Apabila dicari, saya menemuinya berada atas sarang semut api di kawasan semak.

"Saya tidak menolak kemungkinan kucing itu dibunuh di tempat lain," katanya yang tidak membuat laporan polis mengenai perkara itu.

Menurutnya, sejak lebih setahun menyewa di situ, dia sememangnya tidak bermusuhan atau mencampuri urusan sesiapa.

"Walaupun kami sekeluarga masih bersedih, saya tidak mahu menuduh sesiapa melakukan perbuatan itu dan cuma berharap individu berkenaan insaf.

"Saya tidak mahu memanjangkan isu itu dan biarlah dia (pelaku) berurusan dengan Allah kelak," katanya.

Sementara itu, Kelab Kucing Malaysia menerusi Pengerusinya, Khalid Rashid ketika dihubungi Harian Metro turut menyelar tindakan keji si pelaku yang disifatkan kemungkinan mengalami masalah mental atau berdendam.

"Seorang insan normal dipupuk dengan rasa menyayangi haiwan terutama binatang peliharaan yang masih kecil. Namun, perasaan dendam dan sakit mental boleh menyebabkan individu itu melakukan perkara sedemikian sehingga tergamak membunuh.

"Walaupun mungkin berkaitan faktor haiwan itu menimbulkan masalah terutama membuang najis, ia tidak seharusnya sehingga ke tahap membunuh dengan kejam," katanya.

TAMAT

Disiarkan pada: October 19, 2017 @ 5:23pm
d