utama

Seleweng RM1.5b: Shafie Apdal ditahan [UPDATE]

Oleh Fardy Bungga

PRESIDEN Parti Warisan Sabah ( WARISAN) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal ditahan selepas memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jam 9 malam hari ini.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki mengesahkan penahanan bekas menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah terbabit.

Difahamkan, SPRM akan memohon perintah reman terhadapnya di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, esok.

Sebelum itu Mohd Shafie tiba di pejabat SPRM di Kompleks Pentadbiran Persekutuan, Jalan Sulaman, kira-kira jam 5.15 petang tadi.

Beliau yang tiba bersama isteri Datin Seri Shuryani Shuaib disambut kira-kira 50 ahli keluarga dan penyokong.

Ketibaannya di pejabat SPRM itu bagi memberi keterangan berhubung siasatan kes penyelewengan RM1.5 bilion dana Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan wilayah (KKLW).

Sementara itu, dalam sidang media di rumahnya sebelum tiba di pejabat SPRM, Shafie menyatakan kesediaannya untuk kerjasama kepada agensi berkenaan.

“Ini adalah proses undang-undang yang perlu dipatuhi dan kita sentiasa sedia memberi bekerjasama.

"Saya tahu mereka hanya menjalankan tugas. Kita akan bagi kerjasama sepenuhnya untuk mereka siasat tapi lakukanlah secara baik,"katanya.

Disiarkan pada: October 19, 2017 @ 10:23pm
d