utama

Cinta suci Jonatan Kukucka

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: Seorang mualaf dari Slovenia sanggup meninggalkan pekerjaan dengan gaji lumayan di negaranya semata-mata mahu mendalami Islam di Institut Dakwah Islamiah PERKIM (IDIP) Pengkalan Chepa sejak Jun lalu.

Jonatan Kukucka Abdullah, 25, berkata, dia yang bertugas sebagai jurutera di Bizjan Orodjarstvo mula tertarik dengan Islam selepas berkenalan dengan bakal isterinya, Nurul Dayana Abu Saman, 23, di Griffin Collage, Ireland pada 2015.

Katanya, pada Julai 2016 dia memeluk agama Islam secara sukarela dan mula mempelajarinya dengan lebih mendalam.

“Saya membuat keputusan berhenti bekerja untuk mendalami Islam di sini (IDIP) selepas dicadangkan bapa Nurul Dayana.

“Walaupun baru beberapa bulan saya mempelajari mengenai Islam di IDIP, saya lihat Islam membentuk keperibadian seseorang. Setiap kali bersolat dan berdoa, jiwa saya cukup tenang dan damai, satu nikmat yang tidak pernah dirasakan sebelum ini.

“Saya bersyukur kerana diberi Allah hidayah untuk mengenali dan memeluk agama suci ini dalam usia masih muda.

“Keperibadian Nabi Muhammad SAW menjadi contoh ikutan membolehkan saya menjadi muslim sejati sehingga ke akhir hayat,” katanya ketika ditemui selepas menyertai Larian Mahabbah Mualaf, di sini, semalam.

Seramai 46 peserta daripada kakitangan dan pelajar IDIP menyertai larian terbabit.

Menurutnya, keluarga tidak pernah membantah keputusannya untuk memeluk agama suci ini kerana pada usia 18 tahun mereka bebas menganuti agama pilihan masing-masing.

“Insya-Allah pada 25 Disember ini saya bakal melangsungkan perkahwinan dan berharap ilmu agama yang dipelajari menjadikannya seorang suami yang bertanggungjawab,” katanya.

Disiarkan pada: October 20, 2017 @ 5:29am
d