utama

Shafie masuk hospital

Oleh Norasikin Daineh

PRESIDEN Parti Warisan Sabah (WARISAN) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth 2 (QEH) Kota Kinabalu sejak malam tadi akibat tekanan darah tinggi.

Beliau yang juga bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah sebelum itu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah, kira-kira jam 9 malam tadi selepas hadir untuk memberi keterangan berkaitan kes penyelewengan dana RM1.5 bilion.

Mohd Shafie dijadualkan dibawa ke Mahkamah Kota Kinabalu selepas solat Jumaat hari ini untuk mendapatkan perintah tahanan reman terhadapnya.

Setiausaha Agung WARISAN Loretto Padua Jr berkata, Mohd Shafie dibawa ke hospital, kira-kira jam 11.30 malam tadi.

“Beliau dibawa ke QEH2 malam tadi untuk pemeriksaan doktor sebelum didapati mengalami tekanan darah tinggi. Sehingga pagi ini, beliau masih di bawah pemerhatian doktor tetapi keadaannya dilaporkan baik,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Siasatan kes penyelewengan RM1.5 bilion dana awam itu membabitkan projek luar bandar Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) yang pernah diterajui Mohd Shafie antara 2009 hingga 2015.

Seleweng RM1.5b: Shafie Apdal ditahan

Disiarkan pada: October 20, 2017 @ 11:06am
d