utama

Inilah sifat terpuji

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

TINDAKAN jujur pekerja pembersihan warga Indonesia yang menyerahkan dompet mengandungi RM12,000, mendapat penghargaan daripada Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman.

Pekerja dikenali sebagai Markina Samana, 43, itu menjumpai dompet terbabit di bilik persalinan bayi di tingkat tiga Kompleks Beli Belah Berjaya Times Square, Kuala Lumpur, 9 Oktober lalu.

Markina ketika ditemui berkata, dia tidak mengetahui jumlah wang yang ada di dalam dompet berkenaan kerana tidak membukanya, sebaliknya terus menyerahkan dompet itu kepada penyelianya.

"Masa jumpa memang terkejut tetapi saya terus menyerahkan kepada penyelia.

"Saya tak membukanya kerana ia bukan milik saya dan tiada hak untuk melihat isi kandungan di dalamnya," katanya selepas menerima sijil penghargaan daripada Mohd Sukri dalam majlis ringkas di kompleks beli belah itu.

Menurut Markina, dia hanya mengetahui dalam dompet itu mengandungi lebih RM12,000 selepas Unit Keselamatan Berjaya Times Square menyerahkannya kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada hari sama dompet itu dijumpai.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman berkata, dompet berkenaan mengandungi sejumlah wang tunai iaitu USD3,000 (RM12,666) dan Syria Pound 3,650 (RM30).

Katanya, tiada sebarang dokumen pengenalan ditemui dalam beg duit itu melainkan sekeping gambar dua lelaki dan dua wanita dewasa bersama dua kanak-kanak dipercayai warga Timur Tengah.

"Buat masa ini, kita masih belum mengenal pasti siapa pemilik dompet ini kerana tiada laporan kehilangan dibuat.

"Tetapi kita percaya pemiliknya adalah warga Timur Tengah berdasarkan gambar yang ada dalam beg duit itu," katanya.

Disiarkan pada: October 22, 2017 @ 3:08pm
d