utama

Hanya berserah

Oleh Georgie Joseph

Baru menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan di Infrastructure University Kuala Lumpur (IUKL), penyanyi Daiyan Trisha kini sedia untuk fokus sepenuhnya kepada karier nyanyian.

Daiyan, 24, yang memulakan kariernya pada 2012 tidak mengharapkan dirinya terus meledak sebagaimana penyanyi baru lain, sebaliknya berserah kepada masa untuk menentukannya.

Bagi Daiyan, dia tidak perlu terburu-buru kerana dia sendiri mahu kekal lama dalam bidang seni.

Dia beruntung kerana pengikutnya sentiasa faham dan terus menyokongnya baik sewaktu dia masih bergelar mahasiswi sehinggalah kini menjadi penyanyi sepenuhnya.

“Menjadi popular itu bukan satu urusan besar kerana saya percaya masa untuk setiap orang akan tiba juga suatu hari nanti. Saya tidak mahu terburu-buru kerana bukan itu pun niat utama saya menjadi seorang pemuzik.

“Ia tidak memberi kesan pun jika saya tidak popular secara luar biasa asalkan pengikut yang ada sekarang adalah asli dan berkualiti. Hakikatnya, mereka pun sangat faham dengan saya dan sentiasa sabar dengan perjalanan karier saya,” katanya.

Menurut Daiyan, dia kini bersedia untuk menjadi perhatian ramai dan menempuh asam garam dunia hiburan.

Mengakui timbul sedikit kegusaran di hati, Daiyan mahu berusaha elakkan diri daripada sebarang tindakan yang boleh menjerat diri.

Yang penting buatnya adalah menjaga maruah diri dan nama baik keluarganya.

“Saya bimbang juga kerana tidak pasti bagaimana hendak berhadapan dengan komen yang sekarang ini lebih kepada mengutuk dan mencerca. Tapi paling saya bimbang ialah apabila komen itu turut membabitkan keluarga saya.

“Saya tahu mesti akan timbul cabaran besar pada waktu itu dan sekarang ini saya tetap dengan prinsip untuk mahu terus jujur dalam kerja. Kalau saya buat sebarang kesilapan pun nanti, hukumlah saya sendiri tapi bukan keluarga saya,” katanya.

Bercerita mengenai hala tuju muziknya, Daiyan akui belum bertemu genre yang paling sesuai buat dirinya, namun semakin tahu apa diinginkannya.

Baginya, dia mahu setiap lagunya tampil dengan mesej yang sangat mendalam dan meninggalkan impak.

“Berbanding awal dulu di mana lagu-lagu saya lebih kepada jiwa muda, sekarang saya sukakan melodi lebih perlahan. Begitu juga dengan konsep lagu itu sendiri saya rasa semakin matang berbanding sebelumnya.

“Saya mahu jadi seperti Faizal Tahir yang kerap tampil dengan lagu yang ada tema dan mesej jelas seperti Assalamualaikum. Setakat ini saya rasa tiada penyanyi muda yang memperjuangkan konsep sama.

“Oleh itu, saya ingin menjadi yang pertama untuk berbuat demikian dengan harapan mesej setiap lagu menjadi teladan kepada semua,” katanya.

Mulakan kempen #KitaManusia

Seiring dengan misinya itu, terbaru Daiyan tampil dengan single terbaru berjudul Kita Manusia yang akuinya ilham itu datang secara tidak disangka.

Menfokuskan kepada isu masalah mental, dia juga memulakan kempen #KitaManusia bagi menimbulkan kesedaran kepada masyarakat.

“Terus terang, saya sebenarnya mahu hasilkan sebuah lagu cinta. Bagaimanapun, idea itu bertukar apabila pada suatu hari saya berasa sangat sedih dan kecewa lantas ilham itu tercipta.

“Kita Manusia adalah sebuah lagu yang ditujukan kepada mangsa kemurungan, buli, mahupun yang sewaktu dengannya. Saya benar-benar mahu membuka mata semua mengenai isu yang sejujurnya sangat kronik itu.

“Bukan saja di luar negara tapi di negara kita sendiri, penyakit ini sebenarnya wujud. Bagaimanapun, ramai yang mengambil remeh dan penyakit ini boleh menjadi teruk sehingga seseorang mahu bunuh diri,” katanya.

Bukan sebuah kempen besar, namun Daiyan sendiri sudah merasai impaknya apabila ramai yang mendengar lagu itu mula memberikan reaksi berbeza.

“Saya sangat tersentuh apabila ia berjaya menyuntik semangat kepada pendengar yang menghadapi situasi mengecewakan. Selepas lagu itu dilancarkan, saya dihujani pelbagai mesej positif yang membuatkan saya sendiri mendapat inspirasi,” katanya.

Selain sibuk dengan promosi lagu berkenaan, Daiyan juga teruja menantikan aksinya sebagai watak utama dalam filem berjudul Busker yang akan ditayangkan tahun depan.

“Bukan disebabkan saya jadi watak utama semata-mata, tapi saya turut terbabit dalam penghasilan lagu tema filem itu. Saya bekerjasama dengan komposer AG Coco dan hasilnya memang sangat memuaskan,” katanya.

Disiarkan pada: October 23, 2017 @ 7:06am
d