utama

Cuba tahun depan...

Oleh Aziman Rosdi

Alor Setar: Tahun depan kami akan beraksi di final. Itu janji jurulatih FELDA United, B Sathianathan selepas menyaksikan anak buahnya terkandas di separuh akhir Piala Malaysia kepada Kedah menerusi agregat 1-3.

Ini kali ketiga FELDA terkandas di separuh akhir selepas tahun 2014 kepada Johor Darul Ta’zim (Johor DT) dengan agregat 5-6 dan pada tahun 2015 dengan Kedah (3-4).

Sathianathan yang mengambil alih tugas ketika kelab itu terumbang-ambing di pertengahan musim ini berpuas hati dengan perjalanan keseluruhan anak buahnya dalam kempen Piala Malaysia.

“Ketika saya mengambil alih FELDA, pasukan ini menduduki tempat ke-10, ke-11 liga tapi kami berjaya ke separuh akhir Piala Malaysia dan nombor tiga liga ketika ini, saya berpuas hati dengan prestasi pemain saya.

“Kami sudah berikan yang terbaik dan tahun depan kami akan beraksi di final,” katanya pada sidang media selepas perlawanan semalam.

Dua gol pemain tengah Kedah, Sandro Mendonca meleburkan hasrat FELDA untuk mencipta kejutan selepas seri 1-1 pada separuh akhir pertama di Jengka minggu lalu.

Sathianathan mengaku anak buahnya gagal beraksi dengan baik pada babak pertama namun cuba bangkit pada baki permainan selepas itu.

“Pada babak pertama kami tak bermain, hanya Kedah yang bermain. Kami pula melakukan kesilapan dan dengan pengalaman yang dimiliki Kedah, mereka mengambil kesempatan itu.

“Tapi separuh masa kedua kami bermain baik cuma kami gagal menjaringkan gol yang diperlukan. Percubaan Thiago Augusto terkena tiang dan beberapa percubaan pemain lain yang biasanya boleh menghasilkan gol pula tersasar,” katanya.

Disiarkan pada: October 23, 2017 @ 7:29am
d