utama

Jika tak pasti usah 'forward'

Oleh Siti Fatimah Hassan

Cyberjaya: Biarpun baru lima bulan dilancarkan selepas diperkenalkan pada Mei lalu, portal ‘sebenarnya.my’ kelolaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dikatakan antara portal yang popular apabila jumlah layarannya kini mencecah lebih 11 juta.

Menggunakan cogankata ‘Tidak Pasti, Jangan Kongsi’, portal yang diwujudkan itu bertujuan menyediakan satu pusat sehenti kepada orang ramai untuk menyemak serta mendapatkan pengesahan berikutan penularan berita palsu yang semakin berleluasa ketika ini.

Tidak kira sama ada menerusi Facebook mahupun mesej berantai yang dikongsi melalui WhatsApp, budaya tular kian meresap ke dalam jiwa pengguna masa kini menyebabkan apa saja perkara yang belum tentu kesahihannya, dikongsi dengan pantas.

Kebangkitan teknologi, kepantasan mesej, video dan gambar yang ditular adalah hakikat dan cabaran yang harus ditempuhi dalam menangani budaya tular palsu bagi mengelakkan ia menjadi lebih parah dalam masyarakat.

Menggunakan sumber dan kepakaran yang ada, usaha itu cuba dilakukan oleh SKMM menerusi platform sebenarnya.my untuk menjelaskan kesahihan maklumat yang tular kepada orang ramai menerusi pengesahan yang dibuat oleh 21 kementerian termasuk agensi berkaitan.

Ketua Pegawai Operasi SKMM Dr Mazlan Ismail berkata, kewujudan portal berkenaan membuktikan kerajaan amat memandang serius terhadap penularan berita palsu yang bukan saja menjadi masalah baharu kepada Malaysia malah juga di seluruh dunia.

Katanya, portal sebenarnya.my adalah yang pertama diwujudkan di negara ini berperanan menangkis berita palsu yang tersebar dengan menyediakan maklumat sahih sebagai rujukan masyarakat supaya mereka tidak terus percaya sepenuhnya terhadap sebarang khabar angin atau maklumat yang diterima.

“Dalam masyarakat kita, ramai mengguna pakai amalan sharing is caring menyebabkan mereka cenderung berkongsi apa saja maklumat yang diterima dengan orang lain tanpa menapis sama ada ia sahih atau tidak. Ini boleh memberi kesan negatif jika perkara yang dikongsi itu tidak betul.

“Banyak contoh sebelum ini yang tular hingga memberi kesan besar terhadap individu, organisasi mahupun kerajaan disebabkan perkara yang dikongsi itu tidak benar. Di sinilah peranan portal sebenarnya.my iaitu untuk menentukan kesahihan berita yang tular diterima melalui media sosial, perkhidmatan mesej segera, blog serta laman sesawang.

“Kita menyediakan platform untuk dimanfaatkan oleh semua 21 kementerian bagi menjelaskan sebarang isu yang tular. Berbanding sebelum ini, setiap kementerian bergerak secara bersendirian untuk membuat penjelasan itu. Peranan portal ini juga lebih kepada repositori dan arkib bagi berita berunsur palsu membabitkan kepentingan awam dan negara,” katanya.

Skop berita yang disiarkan dalam portal sebenarnya.my terdiri daripada tiga kategori iaitu berita palsu yang mempunyai impak kepada negara atau masyarakat di mana ia boleh disahkan oleh saluran rasmi, berita penjelasan oleh kementerian dan agensi berhubung perkara yang tular serta berita waspada mengenai penipuan membabitkan agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Mazlan berkata, setiap perkara yang tular di media sosial akan dirujuk terus kepada kementerian dan agensi berkaitan untuk memberi penjelasan dalam tempoh 24 jam bagi memastikan isu berkenaan dijawab.

“Ini adalah tempoh yang diberikan untuk memberi maklum balas, namun sekiranya terdapat isu kompleks yang memerlukan kajian dan siasatan terperinci, mereka harus mengeluarkan kenyataan mengatakan siasatan lanjut diperlukan bagi mengesahkannya.

“Bagi kita di SKMM, ini sebenarnya mewujudkan persaingan sihat dalam kalangan kementerian dan agensi kerajaan apabila mereka kini berlumba-lumba untuk menjawab segera segala maklumat tular dan mengesahkannya,” katanya.

Katanya, sehingga kini terdapat kira-kira 1,000 berita palsu yang tular di media sosial membabitkan pelbagai isu seperti status halal haram sesuatu makanan dan minuman serta maklumat ‘kitar semula’ yang ditularkan berulang kali kepada orang ramai.

“Kita dapati rakyat Malaysia gemar menularkan perkara ‘kitar semula’ berulang kali. Sebab itu pentingnya pangkalan data untuk kita supaya dapat mengesan sama ada isu tular itu dimainkan semula atau tidak. Namun, cabaran menangani berita palsu ini ialah bagaimana untuk memenuhi jangkaan orang ramai yang mahu sesuatu perkara tular itu dijawab segera.

“Selain itu, kita tidak mempunyai capaian begitu luas terhadap kumpulan yang berkongsi maklumat tular dan berita palsu. Berikutan itu, kita menggerakkan kempen secara agresif bagi meningkatkan kesedaran orang ramai supaya berpegang kepada prinsip tidak pasti, jangan kongsi.

“Kita boleh menganggap respon positif yang diterima daripada masyarakat terhadap portal ini sebagai satu kejayaan namun kejayaan sebenar ialah apabila tidak ada lagi berita palsu yang tersebar. Bagaimanapun, kita tidak berupaya mengawal tindakan semua orang tetapi menerusi pelbagai usaha dan kempen, diharapkan kesedaran orang ramai dapat ditingkatkan.” katanya.

Disiarkan pada: October 23, 2017 @ 8:14am
d