utama

Rampas 'teh lalok' RM12.7j [METROTV]

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

POLIS mematahkan cubaan seludup 254 kilogram (kg) dadah jenis ketamin bernilai RM12.7 juta ke Taiwan melalui kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, 19 Oktober lalu.

Dalam serbuan 5.30 petang itu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) KLIA bersama Pasukan Khas Taktikal dan Risikan Narkotik (STING) melakukan pemeriksaan ke atas enam kotak sebelum menemui 248 bungkusan teh China mengandungi 254 kg dadah jenis ketamin.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, rampasan dadah berkenaan adalah yang terbesar setakat ini di kargo KLIA.

Beliau berkata, pihkanya percaya dadah yang diikrarkan sebagai pakaian itu cuba dibawa masuk ke dalam pesawat yang akan berlepas ke Taipei, Taiwan melalui KLIA untuk dipasarkan di negara berkenaan.

"Kita tidak menolak kemungkinan harga pasaran dadah di Taiwan yang berlipat kali ganda melebihi Malaysia membuatkan sindiket dadah menggunakan pelbagai cara bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

"Serbuan dibuat susulan maklumat diberikan pihak penguatkuasa Taiwan. Sebelum ini, pasukan berkenaan berjaya merampas bungkusan mengandungi 30.5 kg dadah jenis heroin yang disorokkan dalam 90 unit termos haba dan percaya ia dari sindiketsama,” katanya pada sidang media di Sepang, hari ini.

Katanya, pihaknya sedang bekerjasama dengan Ministry of Justice Investigation Bureau (MJIB) Taiwan bagi menjalankan siasatan secara terperinci untuk mengesan dalang sindiket berkenaan.

Mohmad berkata, siasatan awal mendapati, alamat pengirim pada kotak yang dirampas menggunakan alamat di Lembah Klang namun, setakat ini belum ada tangkapan dibuat.

Menurutnya, hasil kerjasama antarabangsa yang dibuat JSJN PDRM dengan MJIB Taiwan sejak 2012, lima rampasan dadah berjaya dilakukan membabitkan 73 tangkapan masing-masing 54 warga tempatan dan 19 warga asing.

"Lima rampasan itu membabitkan 1,025 kg dadah pelbagai jenis dan lebih empat juta pil pelbagai jenis bernilai lebih RM103 juta dan ia dipercayai boleh digunakan oleh 850,000 penagih dadah,” katanya.

Katanya, JSJN PDRM sentiasa meningkatkan jalinan kerjasama dengan pelbagai agensi penguatkuasaan termasuk Amerika Syarikat, Australia, New Zealand, Kanada, China, Korea dan Jepun bagi memastikan kegiatan penyeludupan dan pengedaran dadah dapat dibanteras secara habis-habisan.

Disiarkan pada: October 23, 2017 @ 2:27pm
d